Kristian Malaysia kurang didiskriminasi tapi kes di seluruh Asia meningkat


Walaupun kedudukan yang bertambah baik- Malaysia berada pada kedudukan 23 tahun lepas- masih dalam senarai tahap diskriminasi tinggi terhadap penganut Kristian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2019.

MALAYSIA dianggap antara tiga negara dunia yang menunjukkan “petanda harapan” bagi penganut Kristian pada 2019, menurut kajian tahap penindasan penganut agama itu mengikut negara.

Dalam World Watch List 2019 dikeluarkan semalam oleh sebuah organisasi Belanda, Open Doors, Malaysia berada pada tangga 42 daripada 50 buah senarai negara paling sukar menjadi penganut Kristian.

Senarai itu menyenaraikan negara daripada yang paling buruk kepada yang paling baik. Antara negara paling teruk menindas penganut Kristian ialah Korea Utara, Afghanistan, Somalia, Libya dan Pakistan.

World Watch List dikeluarkan Open Doors adalah senarai tahunan 50 negara di mana penganut Kristian mengalami penindasan melampau, dengan mengukur kebebasan penganut Kristian dalam lima aspek kehidupan- persendirian, keluarga, masyarakat, nasional dan kehidupan bergereja- termasuk aspek keenam yang mengukur tahap keganasan disebabkan agama mereka.

Walaupun kedudukan yang bertambah baik- Malaysia berada pada kedudukan 23 tahun lepas- masih dalam senarai tahap diskriminasi “tinggi” terhadap penganut Kristian.

Dalam laporan dikeluarkan bersama-sama tinjauan semalam, Open Doors mengeaskan walaupun “keamanan dan kestabilan” untuk masyarakat beragama dialu-alukan, kehilangan Pastor Raymond Koh menjejaskan kedudukan Malaysia.

Koh bersama-sama Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis Islam Amri Che Mat dipercayai jadi mangsa “kehilangan paksa” dilakukan pihak berkuasa.

Menurut bancian terbaru pada 2010, penganut Kristian Malaysia membentuk 9.2% daripada jumlah penduduk, agama minoriti kedua terbesar selepas Buddha.

Asia juga menjadi “tempat penindasan terbaru untuk Kristian”, dengan China naik daripada tangga 43 ke 27 dan India masuk senarai 10 negara teratas untuk kali pertama dalam sejarah senarai itu dikeluarkan.

“Angka ini menunjukkan penindasan di Asia meningkat mendadak sejak lima tahun lepas dengan satu daripada tiga penganut Kristian Asia menderita tahap penindasan tinggi,” katanya. – 17 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen