PAKATAN Harapan gagal menarik khalayak pada ceramah awamnya yang pertama di Cameron Highlands malam tadi walaupun menampilkan dua bintangnya.
Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, dua penceramah terhebat gabungan parti pemerintah itu hanya berupaya menarik kehadiran kurang 200 orang di Dataran Felda, yang terletak di sebelah Masjid Sultan Ahmad Shah.
Malah, majoriti hadirin yang mendengar ceramah tersebut juga adalah sukarelawan yang berkempen untuk calon PH M Manogaran di Sungai Koyan pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands sejak lima hari lalu.
Walaupun kehadiran tidak memberangsangkan, Lim masih bersemangat berceramah tentang hasrat PH.
Lim berkata pengundi Jelai boleh mendapatkan manfaat berganda dengan wakil daripada kerajaan negeri dan persekutuan.
“Jelai sudah ada Menteri Besar (Wan Rosdy Wan Ismail) dan dia akan membantu membangunkan kawasan ini sebagai kerajaan negeri. Jadi, mengapa tidak pilih calon kerajaan persekutuan juga, supaya kami boleh bersama membangunkan Cameron Highlands,” kata Lim.
Katanya, kerajaan negeri tidak mampu membangunkan Cameron Highlands dengan sendiri kerana kewangan negeri yang lemah.
Menteri kewangan itu berkata Pahang berhutang dengan kerajaan persekutuan RM3.1 bilion, tertinggi daripada semua negeri Malaysia.
“Dengan hutang di mana-mana, bagaimana boleh negeri tolong bangunkan Cameron Highlands dan Sungai Koyan.”
Katanya, jika BN menang lagi, tidak ada persaingan untuk membangunkan kawasan itu kerana kedua-dua kerusi- DUN Jelai dan Parlimen Cameron Highlands- adalah daripada parti yang sama.
“Pengundi hanya boleh adili siapa yang lebih baik jika kerusi ini diwakili oleh dua parti berlainan,” kata setiausaha agung DAP itu.
Ceramah malam tadi turut menampilkan Adun Ketari Young Syefura Othman dan Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah.
Lim turut membangkitkan persoalan bagaimana BN dapat membantu kawasan itu apabila akaun Umno, MCA dan MIC semuanya dibekukan kerana siasatan skandal 1MDB.
“Jika mereka menang pun, mereka masih kena cari duit untuk bayar balik 1MDB. Jadi, bagaimana mereka hendak tolong kawasan bila mereka tak boleh tolong diri sendiri?”
Bagaimanapun, tambah Lim, kerajaan persekutuan tidak akan melupakan Cameron Highlands jika Pakatan kalah pada PRK kali ini.
“Tidak seperti BN, kami akan terus bangunkan kawasan ini. Tetapi jika Pakatan menang di sini, pembangunan akan lebih cepat,” tambahnya.
Peneroka Felda Koyan 1 Abdul Malik Ibrahim mendapati maklumat dan penjelasan malam tadi diberikan penceramah munasabah.
“Bayaran Felda tertangguh kerana tak ada duit. Ini sebab kerajaan lama,” kata peneroka berusia 75 tahun berasal dari Raub itu.
Apabila ditanya tentang kehadiran hadirin yang rendah, Abdul Malik turut meluahkan rasa terkejutnya.
“Terpulang kepada mereka. Pada pandangan saya, ramai mereka tak mahu perubahan. Tapi saya hendak (perubahan), dan kerana itu saya datang,” katanya yang merupakan generasi pertama peneroka Felda kawasan itu.
Kemenangan di Sungai Koyan penting untuk PH kerana ia boleh beri isyarat jelas kemenangan di Cameron Highlands.
Sungai Koyan mempunyai tiga penempatan Felda. Daripada 2,888 pengundi, BN mendapat 1,290 undi dan PH meraih 1,233 undi menjadikan 87% undi milik mereka, PH hanya mendapat 329 undi pada PRU14 lalu.
PAS sudah meminta penyokongnya supaya mengundi calon BN Ramli Mohd Noor. – 17 Januari, 2019.
Komen