Senator PKR mohon maaf ugut Tok Batin


Senator PKR Bob Manolan sebelum ini dikritik kerana didakwa mengugut Tok Batin Orang Asli untuk menyokong kerajaan atau mereka kehilangan jawatan dan gaji. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2019.

SENATOR PKR Bob Manolan memohon maaf kepada ketua-ketua kampung (Tok Batin) Orang Asli di Cameron Highlands kerana mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan mereka.

Manolan sebelum ini dikritik pelbagai pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Harapan dan partinya sendiri kerana didakwa mengugut Tok Batin untuk menyokong kerajaan atau mereka kehilangan jawatan dan gaji.

Dalam satu kenyataan hari ini, Manolan berkata beliau tidak menafikan mengeluarkan berkata sedemikian tetapi mengakui kata-katanya itu boleh disalah anggap sebagai satu ugutan.

“Malangnya, di dalam ucapan saya bagi menjelaskan maksud sebenar, ungkapan bahawa mana-mana Tok Batin yang tidak menyokong Pakatan Harapan selaku kerajaan yang memerintah tidak harus dibayar gaji.

“Saya mengakuinya sebagai satu ucapan yang agak keterlaluan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh dianggap sebagai satu ugutan.  

“Saya secara peribadi, memohon maaf kepada semua Tok Batin dan pihak-pihak yang merasa tersinggung dengan kenyataan saya. 

“Tiada sedikit pun niat dihati saya untuk menyinggung perasaan mereka jauh sekali untuk menimbulkan ugutan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Isu ugutan yang dicetuskan Manolan berlaku pada Jumaat lalu, sehari sebelum pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada satu sesi dialog bersama sekumpulan Tok Bati di Pos Betau.

Beliau pada mula mendakwa kenyataannya itu disalahtafsir dalam laporan berita bahwa beliau mengugut Tok Batin dengan berkata “Tidak sokong, kita buang,” dan “Kalau tok batin tak sokong kerajaan, kita tak bayar gaji mereka”.

Malaysiakini kemudiannya memuatnaik rakaman suara ucapannya yang membuktikan Manolan ada mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan itu. – 14 Januari, 2019.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen