Permohonan maaf senator PKR kepada tok batin


DALAM satu perjumpaan dan sesi dialog bersama tok-tok batin perkampongan Orang Asli di Pos Betau, Cameron Highlands baru-baru ini, saya telah ditanya satu soalan berkaitan bayaran gaji kepada tok-tok Batin di perkampungan Orang Asli.

Bagi menjelaskan kepada mereka, saya selaku Senator yang dilantik oleh kerajaan bagi mewakili suara Orang Asli menjelaskan dengan agak panjang lebar tentang apa peranan yang seharusnya dimainkan oleh tok-tok batin bagi merealisasikan semua dasar kerajaan agar kepentingan kaum Orang Asli yang selama ini diabaikan oleh kerajaan terdahulu dapat dibela.

Perkara pokok yang mahu saya jelaskan kepada mereka adalah bahawa sewajarnya tok-tok batin yang dilantik oleh kerajaan mestilah membantu kerajaan di dalam apa jua dasar berkaitan kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli. 

Bagaimana mungkin dasar kerajaan yang mahu membela nasib masyarakat Orang Asli dapat dilakukan oleh kerajaan sekiranya tok-tok batin yang dilantik itu terdiri dari ketua-ketua Cawangan Umno yang secara jelas adalah parti yang menentang kerajaan dan mereka akan sentiasa bekerja untuk parti Umno sebagai sebuah parti pembangkang.

Peraturan ini juga terpakai kepada semua pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan di mana seharusnya tiada sikap “kepartian” di dalam diri mereka sewaktu memegang jawatan yang diamanahkan kepada mereka. 

Malangnya, di dalam ucapan saya bagi menjelaskan maksud sebenar, ungkapan bahawa mana-mana tok batin yang tidak menyokong Pakatan Harapan selaku kerajaan yang memerintah tidak harus dibayar gaji, saya mengakuinya sebagai satu ucapan yang agak keterlaluan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh dianggap sebagai satu ugutan.  

Jika diteliti sepanjang ucapan saya itu, saya lebih banyak menjelaskan betapa pentingnya peranan tok-tok Batin menjalankan semua dasar kerajaan sekarang yang begitu komited untuk memperjuangkan nasib mereka. 

Apabila saya sendiri dari kalangan kaum Orang Asli telah diberi peranan besar untuk memperjuangkan nasib masyarakat Orang Asli di mana saya telah dilantik sebagai Senator di Dewan Negara, ini cukup jelas membuktikan keikhlasan dan komitmen kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli.

Saya secara peribadi, memohon maaf kepada semua tok batin dan pihak-pihak yang merasa tersinggung dengan kenyataan saya.  Tiada sedikit pun niat dihati saya untuk menyinggung perasaan mereka jauh sekali untuk menimbulkan ugutan. 

Saya mempertahankan institusi tok batin sejak dulu lagi malah membela nasib mereka yang pernah dipecat oleh kerajaan yang terdahulu.

Saya menyedari bahawa kenyataan saya tersebut bukan sahaja mengguris perasaan tok-tok batin tetapi juga tidak disenangi oleh pimpinan-pimpinan Pakatan Harapan kerana prinsip Kerajaan Pakatan Harapan yang mempertahankan amalan demokrasi.

Sehubungan itu, saya dengan ini melahirkan rasa kesal di atas ketelanjuran kata yang boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan kepada tok-tok Batin.  Namun, saya masih berpegang kepada prinsip bahawa semua ketua kampung atau tok-tok batin sewajarnya menyokong dasar kerajaan yang memerintah agar perlaksanaan dasar kerajaan boleh dicapai dan memberi manfaat kepada rakyat.  Saya berjanji akan terus memperjuangkan nasib kaum Orang Asli sejajar dengan peranan yang diberikan kepada saya oleh parti dan kerajaan.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pimpinan parti yang telah memberikan nasihat dan teguran kepada saya dan saya akan menjadikannya sebagai satu pemangkin untuk saya terus berkhidmat kepada rakyat.  – 14 Januari, 2019.

*Bob Manolan Mohamad adalah senator Dewan Negara.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen