PIMPINAN Bersatu di peringkat bahagian mesti kreatif mencari dana, seperti parti komponen Pakatan Harapan lain semasa jadi pembangkang, dan tidak semata-mata berharap dengan bantuan kontrak daripada kerajaan, kata akar umbi parti.
Antara yang boleh dilakukan termasuk majlis amal mengutip dana atau mencari penaja untuk program masyarakat, kata beberapa ketua bahagian dan akar umbi Bersatu.
Wakil rakyat Bersatu juga wajar menyumbang sedikit elaun mereka untuk dana parti di bahagian masing-masing, kata mereka.
“Saya tidak bersetuju kita (pemimpin) meminta-minta kontrak. Kita perlu bersih dan jadi pejuang yang benar. Bukan hanya nak jawatan atas kepentingan diri.
“Yang meminta-minta (kontrak) ini sepatutnya kukuhkan cawangan dahulu. Jangan hanya ada bahagian tapi cawangan tiada,” kata Timbalan Ketua Bahagian Gopeng Ahmad Ishak kepada The Malaysian Insight.
Katanya, Bersatu perlu mencontohi PKR dan DAP yang terkenal dengan program majlis makan malam untuk menambahkan dana parti.
Bersetuju dengannya, Ketua Bahagian Bakri, Arif Haron mencadangkan setiap pemimpin Bersatu yang menang pilihan raya memberi sumbangan kepada parti seperti yang dibuat wakil rakyat PKR.
“Setiap ahli Parlimen atau Adun Bersatu sedikit sebanyak perlu beri sumbangan. Ia boleh bantu menggerakkan parti.
“Seperti saya di Johor bersama sewaktu mula tertubuhnya Bersatu. Kita ada lima cawangan. Alhamdulillah setakat ini saya masih mampu guna duit sendiri.

“Ia bergantung cara kita menguruskan ikut kemampuan. Seperti saya orang meniaga gunakan wang RM2,000 untuk sewa pejabat dan pekerja. Ia tidak termasuk program. Itu sumbangan kita untuk berjuang,” kata usahawan itu.
Pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bulan lalu, Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman mencadangkan kontrak kerajaan diberikan kepada ketua bahagian dan cawangan.
Ia bagi memberi dana kepada akar umbi yang tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk membantu masyarakat.
Namun sayap pemudanya, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menentang cadangan Abdul Rashid kerana dianggap amalan rasuah dan kronisme.
Dalam pada itu, Ketua Bersatu Bahagian Seputeh, Mohamad Riadz Mohamad Hashim berkata selain majlis makan amal, parti Bersatu boleh menjalankan program yang mendapat tajaan.
“Mencari penaja amat penting. Kita boleh buat program yang membawa keuntungan tapi kos dibiaya oleh pihak ketiga. Untuk menjalankan program, kos-kos seperti khemah dan logistik boleh dapatkan tajaan.
“Derma daripada awam ini tidak konsisten jadi kena fikirkan program. Rancang berapa kos,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan kos bagi menggerakkan setiap bahagian berbeza-beza di setiap negeri.
Kos untuk menubuhkan pejabat bahagian sekurang-kurangnya RM3,000 hingga RM6,000, itu pun hanya kos pentadbiran dan pejabat, tidak termasuk program melibatkan akar umbi dan masyarakat.
Bagaimanapun, Ketua Bahagian Shah Alam Mohd Hamidi Abu Bakar berkata tidak salah jika ahli Bersatu diberikan kontrak kerajaan sekiranya berkelayakan.
“Kontrak kerajaan ini perlu kerana ia bantu untuk pemimpin. Kita meniaga bukan hendak naikkan harga pun. Mestilah melalui tender yang betul.
“Daripada bagi pada orang Umno, baik kepada orang kita. Faedahnya kepada kerajaan juga,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor. – 15 Januari, 2019
Komen