ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menyelar tindakan naib presiden parti Abdul Rashid Abdul Rahman meminta pucuk pimpinan menggunakan kuasa dalam kerajaan untuk ‘membantu’ pemimpin akar umbi.
Ketua Penerangan Armada Ulya Aqamah Husamubin berkata mereka menentang cadangan naib presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman untuk menggunakan pengaruh pemimpin parti dalam kerajaan bagi membolehkan ketua bahagian dan cawangan mendapat projek.
“Armada menyokong sekiranya pemberian kontrak kepada mereka yang layak, namun kami tak setuju salah guna kuasa kepada mana-mana secara ‘direct nego’ (perundingan terus), dan akan keluar untuk perangi agenda seperti itu dalam parti.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk melaporkan kesalahan itu kepada pihak berkuasa,” katanya selepas Persidangan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini.
Terdahulu Abdul Rashid dalam ucapan penggulungannya meminta pucuk pimpinan parti itu menggunakan kuasa kerajaan untuk ‘membantu’ pemimpin akar umbi.
Ulya berkata pihaknya tidak mempunyai masalah jika ahli parti mahu mendapatkan kontak tetapi mereka perlu melalui merit dan membidanya.
“Beliau (Abdul Rashid) mempunyai hak untuk bersuara (memberi cadangan) tetapi ini bukan pendirian parti.
“Kita perlu menukar budaya ini dan ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi.”
Beliau berkata budaya itu masih berlaku dalam parti.
“Kita perlu membersihkan amalan ini kerana kita tidak boleh berdiam diri jika berlaku penyalahgunaan kuasa.
“Kita akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia seperti yang dilakukan terhadap ahli terdahulu.” – 30 Disember, 2018.
Komen