Naib presiden Bersatu minta parti tolong anak buah


Noel Achariam Sheridan Mahavera SM Amin

TUNTUTAN seorang naib presiden Bersatu agar pucuk pimpinan parti itu menggunakan kuasa kerajaan untuk ‘membantu’ pemimpin akar umbi menerima sorakan gamat para perwakilan.

Abdul Rashid Abdul Rahman dalam ucapan penggulungannya antara menuntut pemimpin parti memperkenalkan semula Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) supaya projek di negeri yang dikuasai pembangkang dapat dikawal semula oleh parti kerajaan.

Dengan itu, ketua bahagian dan ketua cawangan akan mendapat keuntungan daripada projek terbabit, katanya lagi yang disambut sorakan gamat para perwakilan.

Dengan cara itu juga, negeri seperti Kelantan dan Terengganu akan dapat dikuasai parti tersebut, katanya lagi.

“Saya harap Kelantan, Terengganu dibalikkan semula. Jawatan Jabatan pembangunan persekutuan, mesti dibalikkan semula dan orang kita mesti mentadbir kerusi negeri itu,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan para perwakilan.

“Segala projek pembangunan yang dikawal kerajaan persekutuan perlu disalur ke JPP, dan ketua-ketua bahagian mesti dapat faedah dari perkara ini,” katanya.

Beliau berharap pucuk pimpinan parti akan menerima tuntutan untuk memperkenalkan semula JPP, yang akan membolehkan kerajaan persekutuan melantik ketua kampung dalam jawatankuasa berasingan.

“Saya harap apa yang saya katakan ini didengari dan kembalikan sistem melantik ketua kampung, penghulu dan sebagainya supaya dapat kita menyusup pengaruh-pengaruh.

“Kalau ini dilakukan, kita akan kuasai semula kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang,” kata Rashid lagi yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Dua minggu selepas pilihan raya umum 9 Mei, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Turut dibubarkan adalah beberapa badan lain yang dilihat wujud lebih sebagai platform politik untuk Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran yang lalu.

Anggota JKKKP dilantik oleh kerajaan persekutuan melalui JPP, bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. 

Ia mempunyai peranan yang sama dengan ahli JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri. Di bawah kerajaan BN, JKKKP ini hanya wujud di negeri-negeri yang kerajaan negerinya bukan BN seperti Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor pada penggal yang lepas.

Setiap unit JKKKP ini dianggotai antara 13 hingga 15 sukarelawan, lazimnya semua mereka ahli Umno, dengan pengerusinya menerima elaun RM900 sementara setiausaha RM400.

Dengan adanya JKKKP, dana peruntukan dari pusat disalurkan terus kepada mereka, sekali gus memintas ketua kampung, untuk pelbagai aktiviti termasuk mengadakan sekurang-kurangnya enam majlis besar melibatkan akar umbi dengan pemimpin BN. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen