MCA menggesa pihak berkuasa menyiasat bayaran sebanyak RM20 dibuat Pakatan Harapan (PH) kepada sukarelawan untuk menampung perbelanjaan perjalanan mereka pada hari penamaan calon untuk pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.
Presiden parti, Wee Ka Siong berkata tindakan perlu diambil meskipun penasihat DAP Lim Kit Siang mengatakan PH tidak terlibat dalam sebarang perbuatan membeli undi, seperti didakwa oleh pengkritik Barisan Nasional (BN) dan media sosial.
“PH berkata ia ‘duit minyak’ tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan ia tidak dibenarkan.
“Laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu. Kenapa tiada tindakan? Orang (yang memberikan wang itu) perlu disiasat.
“PH tidak boleh bersikap menggunakan ‘double standard’. Kerana bagi BN ia berbeza dan PH berbeza,” katanya selepas pertemuan dengan akar umbi MCA di Cameron Highlands semalam.
Penolong Ketua Operasi PH Jelai, Arvind Bharet, berkata imej di media sosial sebenarnya menunjukkan sukarelawan menerima bayaran balik bagi perbelanjaan mereka.
Lim berkata mereka tidak takut akan kebenaran kerana ia tidak melibatkan pembelian undi, merujuk kepada hantara (posting) media sosial berhubung wang yang diberikan kepada beberapa individu yang memakai T-shirt PH.
Pemimpin BN kemudian membuat laporan polis mengenai cubaan membeli undi.
Wee berkata jika mereka adalah sukarelawan sebenar, mereka tidak sepatutnya dibayar.
“Orang yang memberikan wang itu mesti disiasat kerana ini tidak masuk akal.”
Wee berkata pengerusi SPR menjelaskan ia tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat.
“Selepas BN membuat laporan polis, adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mula menyiasat?”
Sementara itu, calon PH M. Manogaran dituduh perkauman selepas mengatakan orang Melayu tidak akan membeli kuih daripada Orang Asli.
“Beliau (Manogaran) sama ada mengatakan makanan Orang Asli tidak bersih atau orang Melayu memandang rendah kepada Orang Asli.
“Bagaimana beliau boleh bertanding sebagai calon? Ia kelihatan seperti PH membiarkan kelakuan perkaumannya,” kata Wee. – 14 Januari, 2019.
Komen