ENAM puluh sukarelawan Pakatan Harapan (PH) dibayar RM20 setiap seorang hari ini sebagai pembayaran balik perbelanjaan mereka dalam kempen pilihan raya dan calonnya di Cameron Highlands pada hari penamaan calon, kata veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata PH tidak terlibat dalam sebarang tindakan membeli undi yang dituduh pengkritik daripada Barisan Nasional (BN) dan media sosial.
Beliau menambah, pembantu Ketua Operasi Jelai Harapan Arvind Bharet, menjelaskan bahawa gambar-gambar yang muncul di media sosial itu sebenarnya memaparkan para sukarelawan parti diberi pembayaran balik untuk perbelanjaan mereka ketika hari penamaan calon.
“Kami tidak takut dengan kebenaran kerana memang tidak ada pembelian undi dilakukan,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Beliau merujuk kepada hantaran di media sosial yang memaparkan wang diserahkan kepada beberapa orang di yang memakai kemeja Pakatan Harapan Cameron Highlands.
Pemimpin BN membuat laporan polis mendakwa bahawa pembelian undi berlaku dalam kempen Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.
Lim juga mendedahkan bahawa wanita yang dikatakan menyerahkan wang tunai dalam gambar itu adalah Vanessa yang berketurunan Dusun-Punjabi dari Kota Kinabalu yang merupakan seorang sukarelawan Impian Malaysia sejak 2014.
Katanya, Vanessa ditugaskan mengatur penunggang motosikal daripada kalangan Orang Asli yang keluar dari kampung mereka untuk menghadiri majlis penamaan calon di Tanah Rata semalam.
“Terdapat 60 penunggang motosikal dan beliau membayar balik RM20 kepada setiap seorang penunggang motosikal.
“Terdapat lima buah kereta dan empat buah bas yang membawa Orang Asli pada hari itu tetapi mereka bukan tanggungjawab beliau,” katanya.
Lim juga mencabar BN menyatakan akauan kepada awam secara penuh tentang berapa ramai orang yang digerakkan untuk hari penamaan calon tersebut.
Beliau juga meminta BN untuk mendedahkan jumlah perbelanjaan yang terlibat serta menjawab semua pertanyaan mengenai perbelanjaan kewangan semasa pilihan raya kecil.
Terdahulu hari ini, Arvind menjelaskan bahawa gambar-gambar di media sosial itu adalah sukarelawan parti yang dibayar balik untuk perbelanjaan mereka bagi perjalanan dari kawasan pedalaman ke Tanah Rata semalam.
Beliau menambah pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya oleh calon pilihan raya parti, M. Manogaran. – 13 Januari, 2019.
Komen