KELEWATAN buku teks fizikal untuk program dwibahasa (DLP) yang memfokuskan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris menerima reaksi berbeza daripada ibu bapa dan pelajar bagi sekolah yang mengikuti program itu, dengan sebahagian daripadanya mengatakan ada rahmat di sebalik perkara itu.
Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) mengatakan ia menerima maklum balas positif berhubung kelewatan itu yang menyebabkan sekolah terbabit kini menggunakan DVD dan memuat turun digital buku teks DLP yang disediakan oleh kementerian.
Ibu bapa memberitahu PAGE anak-anak mereka lebih gembira kerana ia meringankan bebanan beg sekolah - aduan daripada sekolah di Malaysia - kerana ia bermakna kurang dua buku teks perlu dibawa, Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
Bagi para guru, di sekitar 620 sekolah menengah yang mengambil DLP juga menggunakan skrin digital dan salinan digital dalam bilik darjah yang mereka katakan meningkatkan penglibatan pelajar, kata Pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim.
Bagaimanapun, pengguna Internet di Facebook Kementerian Pendidikan mengadu kelewatan itu tidak boleh diterima kerana menjelang pelajar mendapat buku berkenaan pada Mac, hanya tinggal enam bulan sahaja untuk belajar bagi menghadapi peperiksaan PT3.
“Teruknya perancangan KPM!! Buku teks Bahasa tersedia untuk kebanyakan subjek seawal November 2018. Apa masalah dengan sistem perolehan yang menyebabkan kelewatan percetakan dan pengedaran buku teks dalam Bahasa Inggeris? “Tulis pengguna Facebook bernama Juliza Jalil.
“Pelajar Tingkatan 3 tahun ini adalah tikus makmal untuk KPM sejak mereka darjah satu!!
“PT3 pada Oktober dan buku teks hanya boleh didapati pada Mac ?? Ini benar-benar tidak boleh diterima!
Kementerian Pendidikan menyatakan pada 8 Januari bekalan untuk buku teks DLP bagi subjek Matematik dan Sains hanya akan diperoleh sehingga Mac disebabkan perubahan dalam proses perolehan kerajaan.
Sekolah-sekolah yang menjalankan DLP diberitahu mereka boleh memuat turun empat bab pertama keduda-dua buku ini daripada pautan khas yang disediakan oleh pihak kementerian.
Kementerian juga mengedarkan salinan buku dalam bentuk DVD kepada sekolah yang terjejas.

Rahmat kepada guru, murid
DLP adalah program sukarela untuk mengajar subjek Matematik, Sains dan direka bentuk secara teknikal dalam Bahasa Inggeris dan sedang dilaksanakan untuk pelajar Tingkatan 3 tahun ini di beberapa sekolah terpilih.
Sehingga Ogos 2017, terdapat anggaran 629 sekolah menengah dan 585 sekolah rendah yang menjalankan kelas DLP. Ini adalah daripada 2,408 sekolah menengah dan 7,772 sekolah rendah di seluruh negara.
Memandangkan ia sukarela, hanya sekolah yang mempunyai sokongan ibu bapa, guru dan kementerian dibenarkan untuk menjalankan DLP.
Selepas mengambil alih pada Mei tahun lalu, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkata ia mengubah cara kerajaan memilih pembekal dan kontraktor daripada sistem yang berdasarkan rundingan secara terus kepada tender terbuka.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kewangan berkata ia memberikan agihan khas bagi Kementerian Pelajaran menggunakan rundingan terus untuk mencetak buku teks DLP pada 18 September tahun lepas, untuk memastikan sekolah menjalankan DLP akan mendapat buku pada masa ditetapkan.
Azimah berkata mereka tidak menerima sebarang aduan daripada ibu bapa dan pendidik yang bekerjasama berhubung kelewatan itu kerana ia menyebabkan bebanan beg sekolah berkurangan dan memberi peluang untuk menggunakan peralatan digital di dalam kelas.
“Pembelajaran digital diperkenalkan semasa PPSMI,” katanya merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dimansuhkan pada 2009.
“Jadi, ia hanya menggunakan teknik yang sama. Murid menyukainya kerana generasi ini membesar belajar daripada skrin digital, tidak seperti generasi terdahulu. Guru gembira, murid gembira. Perkara yang awalnya kita tidak ingini, kini ada kebaikan di sebaliknya.”
Beliau menambah ketiadaan buku teks tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak mengajar atau belajar seperti dahulu, guru bergantung kepada nota mereka dan bukannya buku.
“Ini adalah peluang guru menunjukkan potensi diri.” – 14 Januari, 2019.
Komen