KEMENTERIAN Kewangan memberikan kelulusan khas kepada Kementerian Pendidikan untuk membuat rundingan terus bagi perolehan buku teks Tingkatan 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik yang melibatkan program dwibahasa (DLP).
Kelulusan khas itu diberikan pada 18 September tahun lalu, kata kementerian itu, bagi memastikan kelengkapan pembelajaran pelajar di sekolah dapat disediakan dengan baik.
“(Kementerian) telah memberikan kelulusan khas untuk permohonan melaksanakan perolehan buku-buku teks tersebut secara rundingan terus pada 18 September 2018 supaya keperluan pelajar-pelajar dapat dipenuhi secepat mungkin,” kata kementerian dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut jumlah peruntukan yang diluluskan pada September lalu.
Ia juga tidak menjelaskan apakah dengan kelulusan khas rundingan tersebut buku teks yang dimaksudkan dapat diserahkan kepada pelajar lebih awal sebelum Mac ini.
Minggu lalu, Kementerian Pendidikan meminta pelajar Tingkatan 3 yang belum mendapat buku teks DLP bagi mata pelajaran Matematik dan Sains agar memuat turun kandungan buku teks itu melalui sebuah portal khas.
Kenyataan Kementerian Pendidikan itu menyebut buku teks berkenaan sedang dalam proses penerbitan dan akan mula diedarkan kepada pelajar Mac ini.
Kelewatan itu mencetuskan keresahan dalam kalangan ibu bapa yang anak mereka akan mengambil peperiksaan umum Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) Oktober ini.
Menurut Kementerian Pendidikan, buku teks itu terlewat disediakan bagi sesi persekolahan ini kerana perubahan untuk penambahbaikan sistem perolehan dan mengelak sistem rungingan terus sejak pertengahan tahun lalu.
Sebagai langkah sementara, semua sekolah terlibat dibekalkan cakera padat mengandungi empat bab awal buku teks bagi dua mata pelajaran itu.
“Pautan itu juga sudah disediakan bagi membolehkan guru dan murid mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran berkaitan DLP,” kata kenyataan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada 9 Januari lalu. – 13 Januari, 2019.
Komen