JALAN Banggol tidak lagi seperti dulu. Kalau dulu, lima minit berjalan kaki dari terminal bas Kuala Terengganu ke pasar tradisi yang terbesar dan tertua, Pasar Payang, akan ada deretan kedai yang selalu sesak dan kaki lima yang penuh dengan peniaga.
Hari ini, jalan itu sepi. Banyak kedai yang sudah tutup atau perniagaannya terpaksa berpindah. Yang tinggal hanyalah beberapa buah kedai barangan elektrik dan kedai perkakas, sebuah kedai menjual akhbar dan majalah, sebuah kedai jam dan sebuah kedai barang kemas.
“Ada dua benda yang membunuh peniaga di sini,” kata penjual jam, Mohd Fauzi Mohd, 61, kepada The Malaysian Insight.
Sambil menuding pada sebidang tanah lapang di depan kedainya, Mohd Fauzi berkata di situ pernah tegak rumah kedai tetapi semuanya sudah dirobohkan oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri ambil balik tanah untuk dijual kepada pemaju beberapa tahun dulu tetapi kemudian tergendala. Sejak itu, ia tinggal terbiar dan kedai-kedai tidak lagi ada,” kata pemilik Kedai Jam Suria itu.
Ceritanya sama di Kuala Merang, sebuah kampung di tepi laut kira-kira satu jam memandu dari Kuala Terengganu. Peniaga barangan kraf dam cenderamata mendakwa sebuah terminal baru feri yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Setiu membunuh perniagaan di situ.
“Terminal feri dan lot kedai baru itu sepatutnya memudahkan hidup kami. Sebaliknya, kami dapat pembangunan yang tidak mengubah hidup kami jadi lebih baik,” pemilik gerai Zaki Mat Nor, 61.
Di Kuala Terengganu, tukang jam Mohd Fauzi berkata suatu masa dulu jualan mencecah RM30,000 sebulan. Sekarang, dia jarang-jarang dapat lebih daripada RM12,000.
“Orang tak ada duit nak berbelanja lagi. Mereka datang dan tengok-tengok saja tapi tidak membeli,” tambahnya.
Fauzi, yang menjual jam dinding dan jam tangan di Kuala Terengganu sejak 40 tahun lalu, berkata dia payah hendak mempertahankan perniagaannya yang menggaji empat pekerja.
“Selepas bayar sewa dan gaji, tak ada apa-apa lagi yang tinggal untuk saya,” kata Fauzi, yang belajar membaiki jam tangan sejak umurnya 12 tahun.

Pemilik Kedai Emas Zakaria yang hanya mahu dikenali sebagai Muslim berkata jualannya setakat tahun ini jatuh sehingga 50%.
“Peniaga dekat-dekat sini pun kata mereka sudah merasainya tahun lepas tetapi masa itu kedai emas ini okay. Tetapi tahun ini, banyak kedai emas merosot jualannya,” kata usahawan muda itu.
Muslim menyalahkan perniagannya yang jatuh pada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Ramai orang beli emas untuk perkahwinan dan sebagainya. Ada juga orang yang beli emas untuk pelaburan.. Tetapi dengan duit untuk belanja yang berkurangan, menyebabkan kos barang jadi tinggi, orang tidak ada duit untuk beli emas lagi,” kata Muslim.
Negeri miskin
Walaupun Terengganu antara tiga negeri pengeluar terbesar minyak dan gas untuk Malaysia, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapitanya antara yang paling rendah (ke-10 pada 2015) dan pertumbuhan KDNK paling perlahan (2005-2015), kadar kemisminan kedua tertinggi (15% pada 2007).
Biarpun kadar penganggurannya hanyalah berkadar 4.2% pada 2014 tetapi lebih separuh daripada buruh di Terengganu datang dari luar negeri itu.
Pendapatan kedua tertingginya datang daripada sektor pelancongan, tetapi sejak 2015 ia mencatatkan kemerosotan, turun daripada 11.9% (2014) kepada hanya 4.74% pada 2015. Kejatuhan itu berpunca daripada pelancong domestik yang turun daripada 16.5% kepada 3.15% pada tempoh yang sama.
Bagi meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM4,816 (2014) kepada RM8,000 menjelang 2020, inisiatif Transformasi Terengganu yang dicetuskan Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman dimulakan, menurut data yang unit perancang ekonomi negeri.
Di Kuala Merang, peniaga yang bergantung pada pelancong yang menaiki feri ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah berkata belum nampak lagi ada pengurangan dalam jumlah pelancong yang berkunjung ke dua pulau popular itu.
“Kami masih menerima pelancong dari China dan Eropah. Semasa musim cuti di sana, masih ramai (pelancong dari sana) yang datang ke sini,” kata Roseila @ Ramlah Draman, yang mengendalikan Zulaika Tours, yang menyediakan perkhidmatan bot ke pulau-pulau itu.
Tetapi apa yang mengganggu pengusaha dan pemilik kedai itu ialah terminal baru feri Majlis Daerah Setiu yang menggantikan jeti kayu lama, kata Md Isa Abd Rahman, yang mengendalikan tapak parkir untuk pengunjung.
Apabila terminal itu siap menjelang hujung 2014, tidak semua pengusaha feri lama berpindah ke situ. Sebaliknya ada antara mereka yang membuat keputusan untuk membuka jeti persendirian di hulu.

Ini mengakibatkan pengunjung terpecah antara terminal feri yang baru dan jeti persendirian. Walaupun pengusaha bot pada umumnya tidak terjejas, ia membantutkan pendapatan di kedai cenderamata.
“Saya sudah berniaga di sini lebih 20 tahun. Saya bina sendiri gerai kayu untuk menjual baju dan minuman. Saya boleh dapat sehingga RM1,000 sehari,” kata Zaki, pemilik gerai.
Apabila Majlis Daerah Setiu merobohkan gerai kayu itu dan menggantikannya dengan kedai batu empat blok, peniaga seperti Zaki diberikan sebuah unit kedai.
“Pada bulan pertama saya buka kedai saya cuma boleh dapat RM10 sehari. Dan saya hanya dapat duit pada hari itu sahaja. Saya tak mampu hendak buka gerai tetapi tak ada orang datang. Jadi, saya tutup terus,” kata Zaki, dan menambah sejak itu dia tidak lagi membuka gerainya.
Dia masih menyimpan bundut baju-T yang masih baru tidak terjual yang disimpannya di gerai itu dan juga di rumahnya.
“Masalah utamanya ialah kerana MDS enggan memastikan pengusaha feri lama berpindah ke terminal baru,” kata Zaki.
Satu lagi masalah ialah pengunjung ke pulau dikenakan bayaran pemuliharaan taman laut di terminal baru, RM5 untuk warganegara Malaysia dan RM30 untuk pelancong asing.
Jeti persendirian tidak mengutip bayaran ini. Pengusaha bot seperti Roseila berkata ini tidak adil kerana duit itu digunakan untuk menjaga terumbu karang pulau itu yang terkenal yang akan memberi manfaat kepada semua pengunjung.
“Ini contoh terbaik bagaimana kerajaan datang dan merosakkan benda yang baik. Mereka kata mereka akan hendak buat benda jadi lebih baik tetapi sebenarnya jadi lebih buruk,” kata Zaki. – 28 Ogos, 2017.
Komen