KELANTAN terus ketinggalan berbanding negeri lain dari segi segi pendapatan per kapita, mengikut statistik kerajaan.
Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapitanya meningkat hampir dua kali ganda bagi tempoh 2005 hingga 2015, purata pendapatan penduduk Kelantan hanya 1/3 daripada KDNK per kapita negara.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, seorang pekerja di situ memperoleh hanya RM12,075 pada 2015 sementara KDNK negara per kapita adalah RM37,104.
Dan jika dibandingkan dengan mereka dari Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) purata pendapatan penduduk Kelantan hampir lapan kali ganda kurang.
Kelantan, yang ditadbir PAS, mempunyai penduduk seramai 1.8 juta (Bancian 2016).
Turut ketinggalan adalah negeri ditadbir Barisan Nasional (BN), Kedah (RM18,249) dan Sabah (RM19,734), berada pada tangga keenam dan kedua tertinggi dari segi bilangan penduduk.
Kedah mempunyai penduduk seramai 2.1 juta manakala Sabah 3.8 juta penduduk.

Menurut pengarah penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Ali Salman, perbezaan pendapatan di seluruh negeri tidak seharusnya menjadi punca kebimbangan daripada segi perspektif sosio ekuiti ekonomi.
“Setiap negeri mempunyai tahap kemampuan berbeza, pembangunan insan dan kepakaran perniagaan dan merapatkan jurang pendapatan mungkin mustahil, atau tidak diingini.
“Bagaimanapun perbezaan antara negeri yang berada di atas dan bawah sangat besar, di mana negeri berpendapatan tertinggi mempunyai RM90,000 pendapatan per kapita, dan negeri paling bawah kurang RM20,000.
“Ini menunjukkan tahap pembangunan di seluruh negeri tidak seragam malah peluang untuk mengurangkan jurang juga sukar,” kata ahli ekonomi dan pakar dasar awam kepada The Malaysian Insight.
Mendahului negeri itu adalah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) yang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM94,722, Labuan (RM58,577) dan Pulau Pinang (RM44,847).
Antara ketiga-tiga itu, Labuan mempunyai saiz penduduk paling kecil, 95,000 penduduk berbanding Kuala Lumpur 1.87 juta dan Pulau Pinang 1.7 juta.
Dari segi pendapatan per kapita, Selangor berada pada tempat keempat pada RM42,611 dengan saiz penduduk paling tinggi iaitu 6.3 juta.
Satu lagi trend yang ditunjukkan dalam statistik 10 tahun itu adalah kadar pertumbuhan KDNK per kapita tertinggi adalah di Kuala Lumpur.
Sepanjang 10 tahun, KDNK per kapita di Kuala Lumpur adalah 123% diikuti Labuan (120%) dan Kelantan (98%) di mana kadar purata negara adalah 77.8%.
Pertumbuhan pendapatan paling rendah terdiri daripada mereka di Pulau Pinang (67.1%), Terengganu (67.2%) dan Perlis (67.6%).
Perbezaan di antara negeri ditunjukkan oleh penguasaan mereka dalam sektor yang menyumbang kepada ekonomi – perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pertanian.
Dalam sektor perkhidmatan, Selangor dan Kuala Lumpur mempunyai saham gabungan 49.9% daripada jumlah keseluruhan negara.
Dalam sektor pembuatan, Selangor memegang saham terbesar sebanyak 28.9% dengan Pulau Pinang dan Johor masing-masing mengekori pada kadar 12.8% dan 12.4%.
Sabah, Sarawak, Johor, Pahang dan Perak berkongsi bahagian besar dalam sektor pertanian dengan sumbangan gabungan sebanyak 71.6%, terutama kelapa sawit dan tanaman getah.
Bagi sektor pembinaan, Kuala Lumpur dan Selangor masih mendahului, mencakupi 56.2% dengan aktiviti hartanah komersil dan kejuruteraan awam lain.
“Tiada tongkat sakti untuk membantu merapatkan jurang pendapatan ini tetapi pengalaman menunjukkan transformasi ekonomi sesebuah negara atau negeri juga tidak jauh berbeza.
“Negeri di Malaysia yang bergantung pada sumber pertanian dan semula jadi adalah negeri berpendapatan rendah. Sementara bagi negeri mempunyai perkadaran tinggi bagi perkhidmatan dalam KDNK cenderung mengatasi negeri lain,” kata Ali.
Menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia pada 2015 ialah AS$296.3 bilion. – 17 April, 2017.

Komen