Syed Saddiq ingatkan Pakatan patuh peraturan SPR


Nabihah Hamid

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulas kritikan terhadap tindakan beberapa menteri Kabinet turun berkempen di Cameron Highlands atas kedudukan mereka dalam kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Januari, 2019.

MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila turutn membantu kempen dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands.

Katanya, beliau sendiri tidak akan menggunakan kelebihan sebagai menteri dalam kempennya, sebaliknya akan memandu sendiri ke Cameron Highlands esok.

“Yang paling mustahak sekali kita ikut piawaian yang telah ditetapkan (SPR). Esok saya juga akan ke Cameron Highlands,” katanya, sambil menjelaskan beliau turun sebagai ketua sayap Pemuda Bersatu dan bukan sebagai menteri.

“Memandu pun sendiri, semua buat sendiri. Kita hormatilah piawaian yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas program meraikan Hari Orang kurang Upaya Sedunia di Kuala Lumpur.

Syed Saddiq menjawab kritikan pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan tindakan beberapa menteri Kabinet turun berkempen di Cameron Highlands atas kedudukan mereka dalam kerajaan kononnya ‘untuk acara berjadual’.

Khairy menerusi akaun Twitternya mengulas antara lain tindakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Zin mengumumkan penjenamaan semula produk pertanian di Cameron Highland. 

Beliau juga mempersoalkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menggunakan helikopter tentera untuk ke Cameron Highlands.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan), Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) mengambil gambar bersama Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi semasa Sambutan Hari OKU (Orang Kurang  Upaya) peringkat Kebangsaan 2018 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Januari, 2019.

“Kalau kita lihat SPR sekarang ini dia ada taring yang baru. Saya hormati dia dan takut dengan dia. Jadi kalau amaran dah disampaikan, kita kena terima,” kata Ahli Parlimen Muar itu lagi. 

Minggu lalu Azhar memberi amaran keras kepada parti politik agar mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan dalam pilihan raya kecil di Cameron Highlands.

Katanya, SPR akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis bagi memastikan pilihan raya itu berjalan dengan lancar mengikut peraturan.

Syed Saddiq sebelum itu bersama Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan aplikasi kutipan dana awam ‘Tambah Emas’. 

Aplikasi ini bagi memudahkan masyarakat memberi derma untuk pembangunan sukan paralimpik menjelang Tokyo 2020.  – 13 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen