Patuh undang-undang dalam PRK Cameron Highlands, pesan SPR


SPR memberi amaran kepada semua calon PRK Cameron Highlands supaya patuh kepada undang-undang atau berdepan tindakan. PRK itu akan diadakan 26 Januari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2019.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) beri amaran keras kepada parti politik agar mematuhi sepenuhnya undang-undang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands. 

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata agensi itu akan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan PRK tersebut berjalan lancar. 

“Ia usaha menangani isu-isu yang berkaitan salah laku rasuah dan pelanggaran undang-undang berkaitan kempen pilihan raya.

“Ketiga-tiga agensi ini serius dan akan bekerjasama erat dalam memastikan tiada mana-mana pihak melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya,” kata Azhar dalam satu kenyataan. 

SPR turut menyeru calon daripada mana-mana parti politik yang bertanding tidak melaksanakan aktiviti kempen yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya. 

Antara aktiviti yang disebut ialah penjamuan, pemberian hadiah dan barangan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan, program kerajaan selain aktiviti kempen yang berunsurkan perkauman serta menyentuh sensitiviti agama.  

“SPRM bersetuju untuk meletakkan pegawai dan anggota di kawasan-kawasan panas untuk membanteras kegiatan membeli undi.  

“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya lagi. 

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata agensi itu akan kerjasama dengan SPRM dan PDRM bagi memastikan PRK Cameron Highlands berjalan lancar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2019.

Selain itu SPR turut yakin PDRM mampu memastikan keselamatan untuk membolehkan calon dan pengundi-pengundi melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka. 

Parti Pakatan Harapan (PH) dikesan melanggar peraturan kempen dalam dua pilihan raya kecil (PRK) lalu iaitu di Seri Setia dan Balakong, walaupun sudah ditegur selepas PRK Sungai Kandis, kata badan pemantau pilihan raya Bersih 2.0.

Calon PH juga dikesan melakukan lebih banyak kesalahan berbanding calon MCA dan PAS dalam dua PRK itu.

Oktober lalu pada PRK Port Dickson, calon PH Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR paling banyak melanggar peraturan pilihan raya, kata Bersih lagi. 

Antara enam kesalahan Anwar yang dikenal pasti ialah cadangan tuisyen percuma, konsert percuma di depan bilik operasinya, jamuan makan dianjurkan untuknya dan penampilannya dalam program tentera bersama Menteri Pertahanan Mohammad Sabu. – 9 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen