BN ‘tak pernah ugut’ rakyat, kata Najib


Alfian Z.M. Tahir

Najib Razak mendakwa Barisan Nasional tak pernah ugut rakyat, mengulas kontroversi ugutan seorang senator Pakatan Harapan kepada tok batin Orang Asli di Cameron Highlands. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Januari, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak petang tadi mengecam pemimpin Pakatan Harapan selepas timbul berita mereka memberikan amaran kepada tok batin Orang Asli supaya tidak mengundi menentang kerajaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Bercakap dengan penduduk Kampung Kerinchi pada sesi dialog terbuka, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata pemimpin Barisan Nasional tidak pernah mengugut atau mengancam Orang Asli.

“Bila kami jadi kerajaan, kami tak pernah ugut orang seperti di Cameron. Kami dalam BN tak pernah buat begitu.

“Sama ada anda sokong atau tidak, anda semua rakyat Malaysia,” katanya mengulas “ugutan” Senator Bob Manolan (PKR) yang dirakam pada sebuah majlis PH.

Selepas majlis, Najib memberitahu wartawan yang kenyataan Manolan perlu dianggap kesalahan pilihan raya.

“Marilah berharap tidak akan ada lagi ugutan. Ia bertentangan dengan amalan demokratik dan tindakan boleh diambil di bawah kesalahan pilihan raya,” katanya lagi.

Najib menambah yang beliau berharap tindakan BN menamakan bekas pegawai polis berketurunan Orang Asli akan menarik minat pengundi Cameron Highlands.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut mengulas isu itu semalam, berkata ugutan dan paksaan tidak ada tempat dalam pilihan raya yang demokratik.

Menerusi Twitternya, Anwar menulis:

“Tidak ada paksaan dalam demokrasi. Bob perlu menjelaskan kenyataannya serta merta.”

Beliau mengulas laporan Malaysiakini yang menyiarkan rakaman audio ucapan Manolan di Jelai semalam.

Dalam rakaman itu, jelas Manolan memberikan amaran kepada tok batin supaya menyokong PH atau hilang jawatan dan gaji.

“(Tok) Batin dibayar kerajaan persekutuan, kerana itu, perlu sokong (Pakatan) Harapan. Jika tidak sokong, kita buang,” katanya.

Manolan sudah mengeluarkan kenyataan menjelaskan kenyataan itu. Veteran DAP Lim Kit Siang turut mengeluarkan kenyataan menyokong Manolan hari ini. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen