Pemimpin Pakatan lain tak dengar senator ugut Orang Asli, kata Kit Siang


Bob Manolan tidak membuat sebarang kesalahan sekiranya beliau hanya mahu membangkitkan persoalan yang tok batin tidak wajar mendapat gaji kerajaan persekutuan sekiranya masih jadi ketua bahagian Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2019.

PEMIMPIN lain Pakatan Harapan yang bersama-sama Senator Bob Manolan dalam sesi pertemuan dengan tok batin Orang Asli di Cameron Highlands tidak mendengar beliau “mengugut”, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, Manolan tidak membuat sebarang kesalahan sekiranya beliau hanya mahu membangkitkan persoalan yang tok batin tidak wajar mendapat gaji kerajaan persekutuan sekiranya masih jadi ketua bahagian Umno.

“Saya periksa dengan pemimpin DAP, iaitu Ahli Parlimen Raub dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahli Parlimen Bentong Wong Tack, Senator Sabah Adrian Lasimbang dan Adun (Bentong) Pahang Young Syefura (Othman) yang berada dalam sesi itu apa yang sebenarnya berlaku dan mereka sahkan tidak ada ugutan dibuat kepada tok batin jika tidak mengundi Pakatan Harapan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Manolan terjebak kontroversi apabila dilaporkan mengugut tok batin semalam apabila berkata jawatan dan gaji mereka akan ditarik balik sekiranya menyokong Barisan Nasional.

Beliau menafikan mengeluarkan kenyataan tersebut, tetapi petikan ucapannya dikeluarkan portal berita Malaysiakini dengan jelas merakamkan beliau berkata “tak support, kita buang.”

Lim yang sudah mula berjumpa penduduk Cameron Highlands sejak sebelum hari penamaan calon hari ini berkata, semua politikus PH yang berkempen di kawasan itu sudah dimaklumkan supaya “tidak meniru cara ugut dan korupsi Umno/Barisan Nasional” kerana PRK itu sendiri diadakan setelah mahkamah membatalkan keputusan PRU14 lalu yang dimenangi calon BN C Sivarraajh kerana korupsi.

Selain Sivarraajh, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut dinamakan memberikan rasuah menjelang PRU14 apabila memberikan RM200 kepada setiap tok batin dan RM25,000 untuk perkampungan Orang Asli. – 12 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen