AKAR umbi PKR merayu pimpinan parti agar menghentikan perbalahan dalaman sebaliknya lebih bermuafakat dan menghentikan polemik tentang perjalanan politik Anwar Ibrahim untuk jadi pengganti perdana menteri.
Mereka merasakan pelantikan pimpinan negeri dan pusat oleh Anwar baru-baru ini, yang dibuat atas kuasanya sebagai presiden parti, menjejaskan parti dan bukan mengukuhkannya seperti yang diharapkan.
Sentimen akar umbi yang mengkritik Anwar secara terbuka memberikan persepsi beliau tidak mampu mengawal parti, kata penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi.
“Beberapa pemimpin seperti Khalid Jaafar, Latheefa Koya mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik Anwar seolah-olah terancang.
“Ia nampak sistematik dan seperti ada motif sertai agenda tersendiri untuk memburuk dan memperlekehkan Anwar sebagai presiden parti,” kata pensyarah politik di Universiti Malaya itu.
Beliau berkata sebagai presiden PKR, Anwar perlu lebih tegas memantau kritikan terhadapnya dan menyatukan parti.
Menjelang akhir tahun lalu, ahli PKR mengharungi pemilihan parti yang sengit antara calon daripada kem yang memihak kepada timbalan presiden Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
Selepas pemilihan berakhir, Anwar melantik ketua-ketua parti negeri dan beberapa jawatan lantikan dalam majlis pimpinan pusat termasuk anaknya Nurul Izzah Anwar sebagai ketua PKR Pulau Pinang.

Beliau juga melantik Rafizi, kalah persaingan timbalan presiden dalam pemilihan parti sebagai naib presiden serta mengekalkan Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung.
Nurul Izzah kemudian menolak pelantikan itu malah melepaskan jawatan naib presiden yang dimenanginya dengan undi tertinggi atas alasan, menurut sumber, mahu menamatkan cakap-cakap mengenai nepotisme dalam parti.
Pelantikan yang dibuat oleh Anwar dikritik oleh beberapa pimpinan parti yang dilihat dekat dengan Azmin seperti Khalid, yang juga penasihat kepada menteri hal ehwal ekonomi itu, dan Latheefa, bekas ahli majlis pimpinan tertinggi.
Azmin juga mengeluarkan satu kenyataan mempersoalkan kepimpinan Anwar, menyifatkan lantikan dibuat Anwar tidak mencerminkan kehendak ahli parti.
Awang Azman berkata PKR perlu kembali ke landasan dan menghapuskan sentimen berpuak.
“Apabila terlalu obses dengan puak, PKR belum apa-apa sudah berpecah kerana ada yang tak sabar merebut kuasa,” katanya.
Ketua Pemuda PKR Hulu Selangor Saifudin Shafi berpendapat PKR terus berpecah kesan daripada pelantikan jawatan pimpinan tinggi yang diumumkan baru-baru ini.
“Saya berharap YB Presiden dan YB Timbalan Presiden dapat segera merungkaikan kekusutan akibat daripada pelantikan jawatan utama kepimpinan parti tersebut dan fokus kepada perubahan yang dijanjikan kepada rakyat.
“PKR sebagai komponen terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) merupakan wahana penting memastikan perubahan yang dijanjikan terlaksana. PKR mesti mencerminkan kekuatan menyeluruh dan inklusif serta menzahirkan tekad demi maksud tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak minggu lalu, timbul pula isu untuk mempercepatkan peralihan kuasa menjadikan Anwar perdana menteri, susulan cadangan dalam perhimpunan agung tahunan Bersatu yang mahu Dr Mahathir Mohamad kekal memimpin sehingga habis mandat pilihan raya.
Otai Reformasi, kumpulan penyokong veteran PKR, menolak cadangan itu dan mahu peralihan kuasa dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah bagaimanapun menjelaskan Majlis Presiden PH yang dianggotai semua pimpinan kanan parti komponennya tidak pernah menetapkan tarikh peralihan kuasa.
Isu tersebut membayangi Dr Mahathir dan Anwar sejak PH menang pilihan raya, memaksa kedua-dua pemimpin berkali-kali menegaskan mereka menghormati perjanjian peralihan kuasa.

Bagaimanapun semakin itu dibangkitkan, ahli di akar umbi merasakan pemimpin tersalah memberi tumpuan selepas menang pilihan raya.
Bekas ketua cabang di Perak, Fuad Karim berkata akar umbi tidak kisah siapa pun calon perdana menteri seterusnya kerana isu utama mereka ialah kos sara hidup.
“Ahli biasa yang mengundi PH tahun lepas masih tercari-cari apa yang diperoleh dalam lapan bulan Pakatan memerintah. Kita maki pentadbiran Najib Razak harga minyak tinggi tapi sampai sekarang minyak masih sama.
“Sudah berlaku peralihan kuasa tapi kita masih bergaduh sesama sendiri. Parti tiada hala tuju. Orang bawah rasa keliru. Mereka tidak kisah siapa pun perdana menteri kerana kos sara hidup lebih utama,” katanya yang juga ahli majlis kerajaan tempatan.
Sementara itu, Ketua Penerangan Wanita PKR pusat, Syarul Ema Rena Abu Samah berkata sekiranya percakaran antara pemimpin berlanjutan, imej parti akan lebih buruk.
“Yang menang teruskan buat kerja, Yang kalah tetap buat kerja. Itu nama politik dalam parti,” katanya.
“Kita masih merasakan kesusahan zaman Najib. Kalau mereka sibuk berpolitik bila nak kerja untuk rakyat,” katanya.
Awang Azman berpendapat Anwar, yang sudah menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Dr Mahathir dan menggesa perdana menteri diberi ruang untuk memimpin, seharus tegas terhadap ahli parti yang terus mempersoalkan isu peralihan kuasa.
“Hormati perjanjian mengenai peralihan kuasa perdana menteri dan pihak membuat provokasi patut dibawa lembaga disiplin,” katanya.
Keresahan sama turut disuarakan oleh bekas ketua staf Anwar, Ibrahim Yaacob yang meluahkan perasaan di Facebook menggesa “drama hendak jadi perdana menteri” ini dihentikan, atau bersiap sedia dihukum oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Beliau menyalahkan kepimpinan parti yang gagal mengawal suasana ketika keadaan parti tidak stabil dan sokongan tidak kukuh.
“Saya hilang hormat pada mereka (pimpinan). Mengarut. Saya sayangkan parti tetapi pimpinan memimpinnya ke jalan kemusnahan. Selamat maju jaya PKR,” katanya. – 6 Januari, 2019.
Komen