Azmin persoal pemimpin dilantik Anwar


Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mendakwa keputusan dilakukan Presiden Anwar Ibrahim untuk Majlis Tertinggi PKR tidak menggambarkan merit, tidak adil dan saksama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018.

PELANTIKAN jawatan pimpinan Majlis Tertinggi PKR yang diumumkan semalam mencetuskan ketegangan dalam parti apabila Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali berkata ia bukan “perwakilan yang saksama dan adil”.

Menurut Azmin, beberapa pemimpin yang dilantik Presiden Anwar Ibrahim tidak mencerminkan kehendak ahli parti dan tidak akan membantu parti untuk maju.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” kata Azmin dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pelantikan ke Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hendaklah dibuat berdasarkan merit dan “bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP”.

Beliau menggesa Anwar supaya meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti itu dengan mengambil kira pandangan akar umbi, demi mengembalikan PKR ke landasan asal selepas pemilihan parti yang memecahbelahkan parti.

Pemilihan PKR antara Julai dan November lepas kelam kabut dengan pelbagai insiden kekecohan di beberapa cabang sehingga memaksa pemilihan di beberapa negeri dan cabang ditangguh atau diadakan semula.

Kekecohan berlaku susulan persaingan sengit antara kem Azmin dan kem pencabarnya Rafizi Ramli menonjolkan calon masing-masing di semua peringkat dan jawatan.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mendakwa keputusan dilakukan Presiden Anwar Ibrahim untuk Majlis Tertinggi PKR tidak menggambarkan merit, tidak adil dan saksama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018.

“Saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada YB Presiden yang telah sedia maklum dengan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih,” kata Azmin, dan menambah Anwar sedia maklum pendiriannya itu beliau maklumkan beberapa minggu lalu.

“Saya menggesa YB Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif,” tambahnya.

Semalam, Anwar mengumumkan pelantikan jawatan tiga naib presiden, setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan, pengarah strategi dan beberapa jawatan lain selepas MPP bermesyuarat.

“Pelantikan ini melambangkan gandingan pimpinan dari seluruh pelusuk negara yang pelbagai kaum, merangkumi tua dan muda, lelaki dan wanita yang merupakan kekuatan Keadilan,” kata Anwar dalam kenyataannya semalam.

Rafizi Ramli yang kalah mencabar Azmin Ali merebut jawatan timbalan presiden dilantik sebagai naib presiden oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018.

Rafizi Ramli yang gagal mencabar Azmin sebagai timbalan presiden dilantik sebagai naib presiden bersama Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok Ali Biju.

Mereka mengisi tiga jawatan lantikan kerusi naib presiden, memenuhi kuota sembilan tempat mengikut perlembagaan parti.

Beberapa pemimpin dikekalkan seperti Saifuddin Nasution sebagai setiausaha agung dan Fahmi Fadzil sebagai pengarah komunikasi.

Azmin dalam kenyataannya bagaimanapun mempertikaikan kewibawaan Saifuddin untuk kekal setiausaha agung, selepas pemilihan parti yang kucar-kacir beberapa bulan lalu.

“Jawatan setiausaha agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.

“Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan,” kata Azmin.

Bekas naib presiden Shamsul Iskandar Mohd Akin dilantik sebagai ketua penerangan sementara Dr Mansor Othman sebagai pengarah strategi. – 29 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen