PERSATUAN Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berkata ia tidak terjejas susulan indeks pembuatan negara yang menjunam, dengan mengatakan petunjuk ekonomi setakat ini menggalakkan.
Semalam, laporan mendedahkan Indeks Pengurus Pembelian Nikkei atau PMI turun kepada 46.8 pada Disember dari 48.2 pada November, mencatatkan kemerosotan indeks paling ketara dalam sejarah tinjauan enam setengah tahun.
Bacaan atas 50 menunjukkan pengembangan sementara bawah 50 menunjukkan pengecutan.
Kajian itu, yang dikumpul oleh IHS Markit, menyebut beberapa faktor penyumbang seperti pengurangan pengeluaran dan pesanan baru serta penyelesaian inventori berhubung kebimbangan atas permintaan.
Bagaimanapun, Presiden FMM, Soh Thian Lai berkata penurunan itu boleh dikaitkan dengan musim cuti, sambil menambah data dari petunjuk lain memberikan pandangan lebih positif mengenai keadaan pertumbuhan ekonomi.
FMM, organisasi ekonomi terbesar negara, mewakili lebih 3,000 syarikat pembuatan dan perkhidmatan industri.
Soh berkata laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bagi Oktober 2018 menunjukkan indeks pengeluaran perindustrian bagi pembuatan meningkat pada September dan Oktober pada kadar 4.8% dan 5.4%.
Beliau berkata nilai jualan pembuatan bagi September dan Oktober meningkat sebanyak 8.2% dan 10.2% dengan peningkatan kukuh di seluruh sektor.
Beliau berkata persatuan itu menghargai “ketua indeks antarabangsa” seperti PMI Pembuatan Nikkei Malaysia, tetapi berkata keputusan itu tidak menimbulkan kebimbangan.
“FMM maklum sejak beberapa tahun lalu bahawa Disember selalu menjadi bulan yang perlahan kerana musim cuti dan kebanyakan pesanan, terutamanya eksport, akan diselesaikan lebih awal bagi jualan Krismas.”
Namun, beliau berkata anggota FMM akan terus “meningkatkan kewaspadaan dalam memantau perkembangan pasaran dan mempertingkatkan lagi strategi serta usaha pasaran dengan sewajarnya bagi meminimumkan risiko dan mencari peluang”.
Rekod rendah PMI dikeluarkan sehari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Malaysia memerlukan masa tiga tahun sebelum ia boleh kembali kepada kedudukan fiskal yang sihat, walaupun beliau berkata petunjuk ekonomi seperti pertumbuhan semula eksport pada Oktober 2018 menunjukkan negara berada dalam keadaan ekonomi yang baik.
Soh berkata walaupun penunjuk ekonomi di lapangan masih kukuh, beliau mengakui terdapat kemungkinan bahawa sentimen pengeluaran dan perniagaan Malaysia boleh dipengaruhi oleh perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang sedang berlaku.
Hampir 50% daripada eksport Malaysia digabungkan dengan produk akhir China yang dieksport ke AS dan 12% daripada jumlah eksport boleh terjejas dengan tarif AS terhadap produk China.
Sebahagian besar produk yang terjejas adalah terutamanya barangan elektrik dan elektronik, produk petroleum, bijih besi dan barangan perlombongan, bahan kimia, plastik dan produk getah, kata Soh.
“Menurut analisis kementerian, eksport Malaysia kemungkinan akan merosot sebanyak 0.08 dan KDNK sebanyak 0.02 mata peratusan menjelang 2018 hingga 2020.
“Sekiranya perang perdagangan antara AS-China semakin meningkat menyebabkan pengeluaran global menurun 0.4 mata peratusan, KDNK Malaysia juga boleh merosot sehingga 0.7 mata peratusan,” katanya. – 4 Januari, 2019.
Komen