Indeks pembuatan Malaysia menjunam


Sektor pembuatan Malaysia merekodkan tahap paling lemah pada Disember, dengan indeks pembuatan utama menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih enam tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

SEKTOR pembuatan Malaysia merekodkan tahap paling lemah pada Disember, dengan indeks pembuatan utama menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih enam tahun akibat penurunan permintaan, menurut Asian Nikkei Review.

Indeks Pengurus Pembelian Nikkei (PMI), yang menjadi penanda aras kesihatan ekonomi untuk sektor pembuatan, menjunam ke 46.8 daripada 48.2 pada November, menurut kaji selidik dikumpulkan oleh IHS Markit.

Bacaan atas 50 menunjukkan pengembangan manakala di bawah 50 bermaksud penguncupan.

Sektor pembuatan dinilai pada setiap bulan suku keempat, selepas menunjukkan sedikit peningkatan pada September.

“Dengan penurunan pengeluaran, syarikat mengurangkan semula bekalan dan barangan siap, menunjukkan prospek bagi permulaan 2019 mungkin kekal negatif,” kata Joe Hayes, pakar ekonomi di IHS Markit, dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

Kaji selidik itu pada awalnya melaporkan bahawa pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September menyebabkan permintaan lemah dalam industri.

Malaysia memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan pada Jun sebelum beralih ke SST.

Kos juga meningkat susulan nilai ringgit menyusut dan kos bahan mentah lebih tinggi. – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen