TARIKH bagi Yamani Hafez Musa mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Sipitang semakin dekat, tetapi bayang anak bekas ketua menteri Sabah Musa Aman itu masih belum kelihatan, menyebabkan ahli Umno Sabah yang keluar parti baru-baru ini cemas.
Yamani yang menghilangkan diri selepas pilihan raya 9 Mei, dimaklumkan supaya hadir di Parlimen pada 7 Januari ini untuk mengangkat sumpah.
Dan jika ini berlaku, Yamani akan mencipta sejarah sebagai ahli Parlimen pertama yang hilang kerusi kerana gagal mengangkat sumpah.
Sementara itu, rakan sejawatnya di Sabah memaklumkan mereka juga tidak tahu di mana anak bekas menteri besar itu berada, dan gagal untuk menghubunginya.
“Kami tidak ada maklumat tentang dia,” kata Adun Bebas Japlin Akim kepada The Malaysian Insight.
Yamani dan Japlin kini wakil rakyat Bebas selepas menyertai empat ahli Parlimen dan sembilan Adun Sabah keluar Umno beramai-ramai pada 12 Disember lepas.
Tindakan keluar parti yang diketuai ketua penerangan Umno Sabah ketika itu, Hajiji Mohd Noor menyatakan bahawa Yamani juga mahu keluar Umno bersama mereka.
Tetapi ketika ditanya di mana beliau berada, Hajiji sendiri tidak begitu jelas di mana Yamani pada masa ini.
“Kami hanya bercakap menerusi telefon pada masa kita mahu keluar dari Umno,” katanya, menambah beliau tidak bertanya di mana Yamani berada ketika perbualan itu.
Yamani kali terakhir dilihat dalam satu gambar yang menjadi tular pada Mei di sebuah pusat perubatan tidak dikenal pasti di London bersama bapanya, Musa yang kelihatan sedang baring di atas katil.
Selepas PRU14, ahli Parlimen Sipitang itu dilaporkan menemani bapanya ke London untuk mendapatkan rawatan pada 17 Mei tetapi beliau terus tidak dapat dikesan sehingga sekarang.
Yamani tidak bersama Musa ketika beliau pulang ke Sabah dan mengangkat sumpah sebagai Adun Sibuga pada 5 September, sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur pada hari sama.
Beliau juga tidak kelihatan ketika Musa kembali ke Sabah dari Kuala Lumpur untuk mendengar keputusan mahkamah tentang saman pemula berhubung jawatan ketua menteri pada 7 November.
Spekulasi dalam kalangan ahli politik di sini ialah, Yamani menghilangkan diri kerana beliau dicari oleh pihak berkuasa.
Yamani dikaitkan dengan kemusnahan rizab hutan di Tawau, di mana loji geotermal kuasa hijau Tawau disebut.
Sebahagian besar hutan di Tawau ditebang pada 2013 bagi memulakan pembinaan loji geotermal pertama di negara ini di mana Yamani pemegang saham terbesar dalam syarikat berkenaan. – 4 Januari, 2019.
Komen