Parti baharu India Sabah hanya mahu kayakan bekas MIC, kata bekas setiausaha


Jason Santos

Orang India Sabah tidak perlukan parti khusus untuk mereka, kata Ron Ganasegaran. – Gambar The Malaysian Insight, 3 Januari, 2019.

RANCANGAN bekas pemimpin MIC Sabah yang mahu mengasaskan parti baharu untuk orang India Sabah hanyalah untuk mengayakan politikus, kata seorang bekas pemimpin parti itu.

Ron Ganasegaran, bekas setiausaha MIC Sabah berkata tidak ada keperluan untuk pemimpin tersebut mewujudkan parti baharu untuk orang India kerana dalam keadaan sekarang mereka boleh berbakti kepada komuniti itu dengan menyertai parti pelbagai kaum sedia ada seperti Warisan, PKR dan lain-lain.

“Terdapat sekitar 10,000 orang India di Sabah, mereka terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera dan ada yang buka kedai kopi.

“Awak lihat orang India di Sabah tidak miskin dan kerana itu mereka tak perlukan sebarang perwakilan dalam politik.

“Rancangan oleh bekas pemimpin MIC ini tidak lain tidak bukan hanyalah rancangan untuk mengayakan diri mereka sendiri,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu hari ini.

Sebelum ini, bekas ketua MIC Sabah V Jothi memberitahu The Malaysian Insight yang cawangan parti itu sudah dibubarkan dan pengumuman untuk parti baharu kaum India Sabah akan dilakukan pada 6 Januari ini.

Jothi berkata masyarakat India sekitar 12,000 orang di negeri itu masih mempunyai pelbagai masalah yang perlukan penglibatan politik.

Tambahnya, parti baharu itu akan mesra kerajaan Sabah sekarang diterajui Warisan.

Ron bagaimanapun berkata situasi itu tidak benar untuk masyrakat India Sabah yang hidup senang dan mereka boleh menyertai parti pelbagai kaum untuk mewakili mereka.

Ron keluar MIC pada 2007 dan adalah antara pengasas parti tersebut di Sabah berkhidmat sebagai setiausaha selama tiga penggal. – 3 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen