LARANGAN merokok akan diperluskan ke lebih banyak kawasan umum termasuk di kedai dobi layan diri, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Langkah itu akan diambil susulan penguatkuasaan larangan merokok di semua restoran di seluruh negara yang bermula hari ini.
Berkata pada media selepas meninjau restoran di Cheras, Dr Dzulkefly berkata kementeriannya sudah meneliti pelaksanaan larangan yang sama di lokasi awam baharu, dan kedai dobi berkemungkinan akan dimasukkan dalam senarai itu.
“Di kedai dobi, terdapat perokok yang menghembuskan asap rokok walaupun terdapat kanak-kanak di dalam premis itu.
“Kita akan meneliti untuk mengenakan larangan merokok di kawasan seperti itu,” katanya.
Bagaimanapun Kementerian Kesihatan berkata hukuman ke atas pelanggaran larangan merokok di tempat makan awam hanya akan diambil selepas tempoh enam bulan.
Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata bagi tempoh enam bulan pertama ini, penguatkuasaan ke atas larangan merokok di tempat makan awam itu dibuat dengan pendekatan “mendidik”.
“Untuk kempen ini, kita benarkan tempoh enam bulan untuk didik orang awam. Selepas itu, tiada alasan lagi,” katanya.
Lebih 5,000 pegawai kesihatan dan penguatkuasa akan dikerah untuk mengeluarkan saman kepada pemilik restoran dan perokok yang melanggar arahan itu.
Berdasarkan peraturan tersebut, perokok hanya dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari premis terbabit. Individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara.
Pemilik premis yang membenarkan pelanggar merokok pula akan dikenakan denda tidak lebih RM2,500. – 1 Januari, 2019.
Komen