TINDAKAN hukuman ke atas pelanggaran larangan merokok di tempat makan awam hanya akan diambil selepas tempoh enam bulan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Bagi tempoh enam bulan pertama ini, penguatkuasaan ke atas larangan merokok di tempat makan awam itu dibuat dengan pendekatan “mendidik”.
“Untuk kempen ini, kita benarkan tempoh enam bulan untuk didik orang awam. Selepas itu, tiada alasan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau pelaksanaan kempen itu di sekitar Bandar Seri Permaisuri di Cheras.
Turut mengiringinya adalah pegawai daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan.
Larangan berkenaan merokok di semua tempat makan termasuk restoran, kedai kopi dan pusat penjaja itu berkuat kuasa hari ini.
Perokok hanya dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari premis terbabit. Individu yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara.
Pemilik premis yang membenarkan pelanggar merokok pula akan dikenakan denda tidak lebih RM2,500. – 1 Januari, 2019.
Komen