DR Mahathir Mohamad sinis menyindir tweet Lim Kok Wing hari ini yang menyuarakan sokongan kepada perdana menteri itu walaupun pernah mengecamnya ketika Pakatan Harapan masih jadi pembangkang.
Usaha guru perhubungan awam itu yang cuba membaiki hubungannya dengan Dr Mahathir hari ini tidak berjaya apabila dikecam secara terbuka oleh Marina Mahathir di Twitter.
Ketika ditanya mengenai tweet Lim, Dr Mahathir berkata:
“Kita tahu ada orang guna jalan pintas. Bila orang itu berkuasa, mereka sokong orang itu. Bila orang itu tak lagi berkuasa, mereka tak sokong lagi. Selepas orang itu kembali berkuasa, mereka kembali sokong,” katanya kepada wartawan selepas bercakap di Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu hari ini.
Lim merupakan penyokong kuat Dr Mahathir ketika beliau pertama kali jadi perdana menteri daripada 1981 hingga 2002.
Beliau kemudiannya menjadi antara pengkritik paling lantang Dr Mahathir apabila negarawan itu menubuhkan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Lim hari ini kemudiannya berubah nada apabila menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir di Twitter, tetapi usaha “berbaik” itu pantas mendapat kecaman Marina.
“Kalau PH tidak menang, adakah anda akan menyelinap ke rumah kami tanpa diundang untuk meminta maaf semasa Raya? Hentikanlah,” tulis Marina, anak sulung Dr Mahathir itu.
Ditanya jika beliau sudah memaafkan Lim, Dr Mahathir berkata:
“Saya orang yang sangat pemaaf. Saya malah boleh maafkan awak.” – 29 Disember, 2018.
Komen