Marina Mahathir bidas Lim Kok Wing alih-alih sokong kerajaan


Marina Mahathir turut menggesa pengasas dan presiden Limkokwing University of Creative Technology itu supaya menghentikan fiilnya itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Disember, 2018

MARINA Mahathir membidas Lim Kok Wing kerana tiba-tiba sekarang jadi penyokong bapanya Dr Mahathir Mohamad selepas pada suatu masa mengkritik perdana menteri itu semasa jadi pembangkang dulu.

Menulis di Twitter, membalas satu tulisan Lim, Marina bertanya, di mana beliau tahun lepas, sebelum Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau menggesa pengasas dan presiden Limkokwing University of Creative Technology itu supaya menghentikan fiilnya itu.

“Kalau PH tidak menang, adakah anda akan menyelinap ke rumah kami tanpa diundang untuk meminta maaf semasa Raya? Hentikanlah,” tulis anak sulung Dr Mahathir itu.

Lim sebelum itu menulis di Twitter memuji Dr Mahathir dan mencuit akaun Twitter perdana menteri, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Pada Mei 2015, ketika sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang baru diperkenalkan dikritik hebat dan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) baru timbul, bekas Perdana Menteri Najib Razak melantik Lim sebagai perunding komunikasinya.

Lim, yang sebelum ini terlibat sebagai perunding beberapa kempen kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk semasa pilihan raya, bagaimanapun melepaskan jawatan itu kira-kira dua bulan kemudian.

Dr Mahathir dalam satu tulisan di blognya pada Jun 2015 berkata seorang kawannya cuba menutup mulut beliau daripada mengkritik kerajaan Najib.

Menurut Dr Mahathir, kawannya itu bimbang dengan berbuat demikian beliau akan memadam legasinya yang terbina lebih dua dekad memimpin Malaysia, semasa jadi perdana menteri kali pertama dulu.

Biarpun tidak menyebut nama Lim, tulisan Dr Mahathir itu dipercayai ditujukan kepada Lim. – 29 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen