PUTRAJAYA masih belum membuat keputusan muktamad sama ada untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan tragedi Memali kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor, kata Perdana Menteri Najib Razak.
Bagaimanapun beliau tidak menolak siasatan itu akan dijalankan memandangkan rakyat berhak mengetahui fakta dan kebenaran mengenai tragedi yang berlaku ketika zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad itu.
“Sekarang kita tunggu reaksi masyarakat termasuk mereka yang terlibat dalam peristiwa tersebut sebelum kerajaan buat keputusan muktamad.
“Kita tak menolak kemungkinan ada RCI, tapi keputusan akan dibuat bila sampai masanya,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Hadi mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, minggu lalu pula berkata bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.
Malah PAS juga menyambut baik cadangan untuk menubuhkan RCI Memali apabila menyatakan kesediaan memberikan kerjasama penuh.
Peristiwa Memali berlaku pada 19 November 1985, di Kampung Memali, Baling Kedah yang mengorbankan 14 orang termasuk ketuanya ustaz Ibrahim Mahmud atau dikenali Ibrahim Libya dan berpuluh yang lain cedera.
Peristiwa ini terjadi ketika Musa Hitam menjadi timbalan perdana menteri dan menteri keselamatan dalam negeri.
Susulan daripada kejadian itu Kertas Putih Peristiwa Memali bertarikh 26 Februari 1986 itu ditandatangani Musa Hitam dikemukakan kepada Parlimen.
Bagaimanapun, saksi hidup kejadian menganggapnya sebagai satu pembohongan.
Kertas putih itu merakamkan latar suasana semasa dan detik-detik yang berlaku apabila pengikut Ibrahim Libya bertempur dengan pasukan polis .Ia turut mencatatkan kedudukan “Amanat Hadi” dalam seluruh episod peristiwa Memali.
Kertas putih itu merumuskan tindakan polis di Memali bertujuan menguatkuasakan undang-undang dan membendung kegiatan yang mengancam keselamatan dalam negara. – 24 Ogos, 2017.
Komen