PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan persidangan agung tahunan buat kali kedua hari ini dan ia merupakan kali pertama sebagai parti dalam kerajaan yang memerintah.
Salah satu isu penting yang perlu dibangkitkan dalam persidangan selama dua hari itu adalah usaha meraih sokongan daripada pengundi Melayu.
Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu, Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 25% sokongan pengundi Melayu-Islam, manakala bakinya memihak kepada Umno (45% ) dan PAS (25%).
Sehubungan itu, Bersatu perlu tampil memberi penjelasan kukuh kepada orang Melayu untuk membuktikan mereka adalah parti alternatif selain Umno yang sebelum ini memerintah kerajaan.
Bagi pengundi bukan Melayu, kebanyakan mereka tertarik dengan idea bahawa mengundi PH pada PRU14 akan menyaksikan berakhirnya era politik berasaskan kaum.
Oleh itu, Bersatu juga masih perlu menjelaskan kepada pengundi bukan Melayu tentang keperluan untuk menjadi sebuah parti Melayu.
“Jika kita tidak membentuk Bersatu dan menegaskan bahawa kita bukan parti Melayu, saya pasti Najib (Razak) akan menang pada PRU14,” kata Dr Mahathir Mohamad semasa satu sesi temu bual khas pada 18 Disember lalu.
Pengasas dan pengerusi Bersatu itu berkata adalah penting untuk Bersatu kekal sebagai parti Melayu bagi memberi jaminan kepada kaum itu.
“Mereka (orang Melayu) mahu ada pihak melindungi mereka dan hanya percaya orang Melayu sahaja boleh berbuat demikian. Jadi mereka mahu parti ini dan jika kita mengabaikan mereka, kita tidak akan mendapat sokongan mereka dan kita akan sentiasa kalah,” kata pemimpin berusia 93 tahun itu ketika ditemui di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Beliau juga percaya bahawa PH tidak akan menang pada pilihan raya lepas jika Bersatu dibuka kepada semua kaum.
“Orang Melayu mahu parti yang kuat dan Bersatu merupakan parti Melayu manakala parti lain disertai pelbagai kaum. Jika mereka tidak menyertai Bersatu, ke mana lagi mereka akan pergi? Mereka tidak lagi boleh bersama Umno kerana (era) parti itu sudah tamat.”
Namun Dr Mahathir bertegas bahawa Bersatu tidak akan menjadi Umno 2.0 walaupun menerima kemasukan ahli Parlimen dan anggota dari parti pembangkang itu.
“Bersatu adalah parti Melayu-Bumiputera dan mana-mana orang Melayu boleh menyertainya. Tetapi mereka perlu menerima ideologi parti iaitu kami mahukan parti ini bersih dan bebas daripada rasuah serta akan mendedikasikan usaha mereka kepada pengundi dan negara.”
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual khas selepas menghadiri majlis penghantaran pulang jenazah anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 18 Disember lalu, kira-kira seminggu sebelum persidangan agung Bersatu bermula.
Berikut adalah lanjutan daripada sesi temu buat tersebut:
S: Dalam keadaan terdapatnya beberapa parti yang meraih sokongan orang Melayu, mampukah Bersatu berkembang?
Dr Mahathir: Orang Melayu mahu parti yang kuat dan Bersatu merupakan parti Melayu manakala parti lain disertai pelbagai kaum. Jika mereka tidak menyertai Bersatu, ke mana lagi mereka akan pergi? Mereka tidak lagi boleh bersama Umno kerana (era) parti itu sudah tamat.
Orang Melayu berasa takut dan terancam. Jika mereka terpinggir, mereka bimbang tidak akan mendapat layanan adil. Jadi mereka mencari parti yang mampu membela mereka. Tetapi mereka tidak boleh menyertai PKR dan Amanah kerana mereka tidak menerima parti berasaskan pelbagai kaum. Dan sudah pasti mereka tidak akan menyertai DAP. Jadi apa pilihan mereka?

Jika kita tidak membentuk Bersatu dan menegaskan bahawa kita bukan parti Melayu, saya pasti Najib (Razak) akan menang pada PRU14.
Walaupun undi popular memihak kepada pembangkang pada PRU13, namun disebabkan struktur Perlembagaan, orang Melayu masih mampu membentuk kerajaan. Namun mereka membentuk kerajaan yang kleptokrasi dan tidak cekap.
S: Apa pandangan anda tentang Bersatu menjelang persidangan agung tahunan kali kedua?
Dr Mahathir: Prestasi Bersatu tidak begitu baik pada PRU lalu dan hanya memenangi 13 kerusi. Ini kerana pendaftaran parti dibatalkan oleh kerajaan terdahulu dan perlu bertanding di bawah logo Keadilan (PKR).
Di sesetengah tempat, pengundi tidak mengetahui calon adalah dari Bersatu memandangkan mereka bertanding menggunakan logo PKR. Mungkin disebabkan itu, mereka tidak mengundi kita.
Kita hilang banyak kerusi. Di Kedah sebagai contoh, kita menawan negeri dari PAS dan Umno, dan kita sepatutnya menang banyak kerusi di sana, tetapi ia tidak berlaku.

Selain daripada tempat yang saya dan Mukhriz bertanding, pengundi tidak tahu siapa yang bertanding samada calon Bersatu atau Keadilan. Jadi kita kalah.
Kini, kami merupakan parti berdaftar dan boleh menunjukkan logo parti. Apabila bertanding, kami akan menggunakan logo Pakatan.
S: Adakah anda akan kekal sebagai pengerusi Bersatu selepas meletak jawatan sebagai perdana menteri?
Dr Mahathir: Saya boleh teruskan kerana masih bergelar ahli Parlimen tetapi saya tidak akan terus menjadi perdana menteri.
S: Apakah mesej anda kepada perwakilan yang menghadiri persidangan parti?
Dr Mahathir: Kita mahu memberitahu anggota parti bahawa kita perlu menyusun semula kerajaan. Ramai tidak menghargai kepayahan untuk menjadi sebahagian kerajaan dalam kalangan lima parti. Berkhidmat di Kabinet bukan tugas mudah.
Kita tidak seperti kerajaan terdahulu dan walaupun saya orang luar, saya diterima sebagai perdana menteri. – 29 Disember, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan