Tidak adil RCI halang akses dokumen, kata peguam Dr Mahathir-Anwar


Bede Hong

Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir menyifatkan kerja mereka suka kerana RCI tidak memberikan akses kepada dokumen digunakan saksi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2017.

PEGUAM Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim mengkritik prosiding kerugian perdagangan mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNI) hari ini kerana didakwa menghalang akses kepada dokumen yang digunakan saksi.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga tidak memberikan senarai saksi, ia juga tidak memaklumkan anak guam mereka yang merupakan perdana menteri dan timbalan perdana menteri ketika itu, sekiranya mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“Jujurnya, kami rasa sukar,” kata peguam Dr Mahathir, Mohamed Haniff Khatri Abdulla kepada wartawan di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Haniff berkata peguam tidak mempunyai akses awal kepada kenyataan yang dibacakan saksi.

“Kami hanya diminta untuk membaca kenyataan saksi selepas dia (saksi) membacanya…kami tak boleh catat dan dengar pada masa sama, terutama sekali kerana ia melibatkan nombor, angka dan peratusan.

Haniff juga berkata yang peguam tidak mempunyai akses langsung kepada dokumen yang menjadi asas kenyataan saksi, seperti laporan audit kerajaan yang menjadi asas kenyataan saksi hari ini, bekas auditor BNM, Wong Yew Sen.

“Apa yang lebih membimbangkan dan merisaukan adalah mereka merujuk kepada dokumen lain, ditandakan sebagai dokumen B, yang merupakan laporan tahunan atau laporan auditor yang menjadi saksi hari ini. Kami tidak dibenarkan untuk mendapatkan salinan laporan itu. Jadi bagaimana kami hendak tahu apa yang sebenarnya berlaku,” kata Haniff.

Kenyataan Wong hari ini adalah berdasarkan dokumen rahsia bertajuk “Audit Report on Foreign Exchange Operation Division of Banking Department and Processing Section of Accounts Department As at 31 December 1992 dated 21 January 1994”.

Kenyataan dua saksi yang merupakan bekas pekerja BNM dalam sesi pendengaran RCI pada Isnin lalu juga berasaskan dokumen rahsia.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri sejak 1981 sehingga 2003, sementara Anwar pula merupakan menteri kewangan sejak 1991 dan timbalan perdana menteri sejak 1993 sehinggalah beliau dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Bank pusat itu melaporkan kerugian disebabkan perdagangan forex yang dilakukannya sebanyak RM9.3 bilion pada 1994, tetapi jumlah sebenar didakwa berjumlah AS$10 bilion ata kira-kira RM25 bilion ketika itu.

Wakil rakyat pembangkang menyifatkan siasatan itu yang dibentuk pentadbiran Najib bermotifkan politik, dan Dr Mahathir pula menyifatkan siasatan itu untuk “memburukkannya” yang kini memimpin pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Gurdial Singh, peguam Anwar pula berkata bekas timbalan perdana menteri itu masih tidak dimaklumkan sekiranya kenyataannya diperlukan, walaupun selepas disiasat pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian forex pada April.

“Kesannya adalah mereka tidak akan memanggilnya. Jadi sekiranya mereka mempersalahkan seseorang tanpa mendengar keterangannya, ini adalah pelanggaran serius mandat yang diberikan Yang Di-Pertuan Agong untuk mencari kebenaran,” katanya.

“Bukan hanya kami dinafikan akses kepada dokumen, kami juga diberitahu yang kami tidak boleh merujuk kepada kenyataan saksi kerana ia dibawah OSA (Akta Rahsia Rasmi). Jika kami petik kenyataan itu yang sudahpun berada dalam perbincangan awam, kami berisiko didakwa kemudian nanti.

“Cara RCI dilaksanakan sangat, sangat tidak memuaskan. Saya pernah terlibat dalam suruhanjaya siasatan sebelum ini…kami diberikan ruang untuk bertanyakan soalan…seluruh proses ini sangat pelik dan merendahkan (kredibiliti) peguam yang terlibat,” kata Gurdial.

Sebelum ini, Anwar mengatakan beliau bimbang tidak boleh mempertahankan dirinya di hadapan RCI, yang pada Isnin lalu mendengar keterangan bekas Pembantu Gabenor BNM, Abdul Murad Khalid mengenai penglibatan Anwar dalam skandal itu.

Murad berkata apabila dia memaklumkan Anwar tentang jumlah kerugian forex pada 1994, Anwar yang merupakan menteri kewangan ketika itu meluahkan kebimbangan yang dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya rakyat mengetahui keseriusan kerugian itu.

Anwar mengatakan kenyataan itu satu penipuan kerana dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada Murad. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen