JAWATANKUASA Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman menyambut baik langkah kerajaan untuk melancarkan inkues kematian bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Setiausahanya, V K Regu berkata ini akan menghentikan segala khabar angin dan tuduhan palsu berkenaan rusuhan di kuil itu pada bulan lepas.
Menurut beliau, kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhiyiddin Yassin mengenai inkues tersebut pada awal hari ini merupakan langkah penting dalam mencari keadilan bagi Adib dan semua pihak yang menjadi mangsa rusuhan.
“Seluruh negara menantikannya (jawapan),” Regu memberitahu The Malaysian Insight.
“Ini juga akan memberi penjelasan kepada keluarga Adib mengenai apa yang sebenarnya berlaku semasa rusuhan itu.”
Muhyiddin hari ini berkata Peguam Negara Tommy Thomas akan mengarahkan majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Adib.
“Pihak pendakwa raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu majistret berkenaan dalam menjalankan inkues tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook hari ini.
Muhyiddin berkata dalam prosiding inkues ini, majistret akan mempunyai kuasa yang luas di bawah Seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.
Ini katanya, termasuk mempertimbangkan bagaimana Adib menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang yang dilakukan orang lain.
Adib, 24, ahli perkhidmatan perubatan kecemasan di Balai Bomba Subang Jaya.
Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 9.41 malam pada 17 Disember lalu selepas didakwa diserang ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November. – 27 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Mesoll Mohd · Ulasan