Pendidikan Islam lahirkan umat kemaruk agama


Mohd Syazreen Abdullah

BERDEKAD lamanya Eropah ditelan kegelapan dek kerakusan agamawan – segala pengetahuan Tuhan kononnya ada di tangan Paus dan paderi jumud. Tidak hairanlah pemikir pencerahan Baruch Spinoza dalam Tractaus menyelar pemuja Injil gagal memahami ajaran tersebut kerana “mereka bukan sembah firman Tuhan sebaliknya sembah kertas dan dakwat”.

Begitulah jadinya apabila kemurnian agama dikotorkan oleh penguasa dan agamawan.

Agama dipolitikkan hingga mengheret umat ke belakang – menjadi mundur. Tiada lagi kebebasan berfikir. Umat hanya mendongak menadah ilmu daripada agamawan jumud tanpa ada keberanian untuk mengupas ajaran dengan kritis lantaran agamawan (paus dan paderi) begitu kuat mencengkam agama.

Begitu juga halnya dalam dunia Islam masa kini.

Seni beragama

Jadi, bagaimana umat Islam belajar agama selama ini? Bentuk acuan apa yang disumbat ke dalam pemikiran umat sehinggakan umat begitu simplistik, penuh prasangka dan bersikap bengis – mirip perangai Paus dan paderi pada Zaman Kegelapan.

Malangnya, lambakan sekolah di negara ini seakan-akan gila “mengejar Islam” tapi kurang menekankan nilai kemanusiaan. Umat Islam dipasung pembelajaran fikah, khilafiah, kalam yang memeningkan.

Sedangkan agama itu mudah, indah lagi berseni. Penuh sastera dan humor – mampu menjentik jiwa manusia, seperti kata tokoh Islam Nahdatul Ulama KH Mustofa Bisri atau Gus Mus: “Kita sekarang yang kurang adalah olah dzauq (rasa). Jangan diajak bicara soal rahmatan lil ‘alamin. Rahmatan itu rasa. Kalau orang tidak punya rasa, maka tidak punya perasaan.”

Benar kata Gus Mus. Banyak sekali krisis kemanusiaan berpunca daripada sikap eksklusif – tanpa belas kasih kemanusiaan. Justeru, anak-anak mesti disemai semangat kemanusiaan universal, kritis memahami Islam – berseni dalam beragama. Bukan ghairah beragama tapi lurus dan bendul.

Tengoklah lambakan sekolah di Malaysia hari ini. Ada sekolah agama rakyat, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah agama kebangsaan, madrasah, pondok dan tahfiz.

Tidak cukup lagi? Sekolah aliran sains pun ada program agama seperti Tahfiz Ulul-Albab. Bahkan Kurikulum Bersepadu Dini/Azhari dilaksanakan di sekolah agama di Malaysia termasuk sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat.

Kementerian Pendidikan pula mahu Kurikulum Bersepadu Dini dan kurikulum tahfiz sebagai kurikulum kebangsaan. Kurikulum Bersepadu Dini mahu melahirkan bakal ulama dan cendekiawan Islam berkaliber dan bertaraf dunia.

Inilah kebimbangan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad – mengeluh sekolah kebangsaan lebih menekankan mata pelajaran agama. Pelajar dibebankan subjek Pendidikan Islam, seolah-olah mahu melahirkan ulama saja.

Ramai marah. Buang Pendidikan Islam disamakan dengan buang agama. Hakikatnya di sekolah, pelajar Islam wajib belajar Al-Quran, hadis, akidah,ibadah, sirah, adab, dan jawi. Malah pada peringkat tinggi, belajar usuluddin, syariah, lughah Arabiah, manhaj ulum Islamiyah, adab wal Balaghah.

Belum lagi lambakan Pendidikan Islam sekolah kendalian Abim, sekolah PAS, sekolah Isma, sekolah Ikram.

Mungkin selepas ini akan ada pula sekolah Amanah. Bagaimana mahu mendidik umat, sesama mereka pun berbalah “siapa lebih Islam”. Kerana Islam, mereka sakan berebut sekolah.

Tidak cukup itu, lambakan graduan agama Timur Tengah mahu mengislamisasikan Malaysia. Tanpa sedar, benak Islamisasi tumbuh mekar di Malaysia.

Lambakan Pendidikan Islam hanya mahu melahirkan pejuang Islam – atas nama agama, semuanya mahu jaminan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Akhirnya banyak sangat belajar agama, penerokaan pengetahuan jadi perlahan, sampaikan negara kian mundur. Mundur kerana pengajaran agama tidak menjurus kepada elemen kreatif mahupun kritis.

Bahkan, belajar agama seolah-olah dimestikan menghindar elemen tersebut. Kerana yang diajar selama ini hanyalah Islam doktrin. Bukan Islam dialog. Jauh sekali Islam kritis.

Inilah kegilaan masyarakat kita. Kemaruk mahu anak jadi ulama. Lupa memanusiakan diri dulu. Tidak pelik agamawan hari ini menyebar sikap tidak manusiawi.

Budaya “masyarakat kemaruk agama” ini membebankan, mengganggu proses pembentukan minda anak-anak kecil. Seharusnya mendidik mereka dengan menyemai kasih sayang dan nilai universal.

Sememangnya sedari kecil kita didoktrin betapa Islam adalah cara hidup. Setiap tindak-tanduk mahu diselarikan dengan Islam. Jadilah kita umat Islam yang “bebas” dalam dinding acuan Islam melalui telunjuk ulama jumud.

Dek kemaruk Islamisasi, pelajar dipaksa mengimbangi dunia dan akhirat. Habis semua perkara ditempel imej Islam.

Lahirlah ustaz doktor, mekanik Islam, ahli fizik Islam, ahli matematik Islam, pemuzik Islam. Konon mahu jadi sehebat al-Khawarizmi, Al- Farabi, Ibn Sina tetapi pelajar kita tidak pula meneroka pengetahuan baru, sekadar ikut-ikutan sistem sedia ada.

Yang penting ada imej Islam untuk disandar pada kepakaran bidang masing-masing.

Paling ironi – penganut Islam mahir dari segi akademik tapi tidak kritis dalam mengupas ajaran Islam. Kritis dalam akademik tetapi apabila menyentuh bab agama, akal ditolak tepi. Hanya ikut membuta tuli.

Itulah akibatnya apabila doktrin Islam yang dipasakkan sedari kecil begitu dalam tertanam. Cemerlang sebagai doktor Muslim tapi jumud beragama.

Justeru, sekolah jangan menanam sikap eksklusif mana-mana agama sebaliknya wariskan mereka nilai kemanusiaan universal. Belajar agama seharusnya melebarkan pintu akal dan menyuburkan sikap damai dan toleransi.

Bahana Islamisasi

Tidak peliklah negara ini dibanjiri pejuang Islamisasi. Ini lahir dari benih Pendidikan Islam yang sempit – bermula di bangku sekolah.

Mereka dipesan bersungguh-sungguh betapa agama jangan sesekali disentuh. Tiada keredaan untuk penganut ajaran lain. Mereka juga menggunakan pelbagai bentuk gerakan untuk menegakkan ajaran Islam fahaman mereka. Mereka ini umumnya Islamis konservatif.

Selepas kita diasak dengan doktrin pendidikan Islam sejak kecil, sebahagian yang menyambung pembelajaran membawa bersama semangat anti dialog ke Timur Tengah.

Pulang Malaysia mengaku ulama. Maka, fatwa-fatwa sempit dijamukan kepada rakyat. Justeru, semakin ramai jadi jumud.

Lebih buruk lagi, mereka menyuburkan api permusuhan dan perpecahan. Pemikiran kelompok ini berlegar takfiri, jihadis, jemaah, hudud, antimaksiat, dakwah convert.

Benak pemikiran ini tidak muncul jika bukan daripada percikan Islamisasi doktrin Pendidikan Islam sejak kecil.

Sudah-sudahlah! Kita seharusnya mengajar anak pendidikan agama secara universal bukan semata-mata Pendidikan Islam. Umat sudah sesak dan mual dengan amalan “semua mahu diislamkan”.

Sebaliknya, pendidikan agama universal – agama lain juga dilibatkan – mampu mengajar kita menjadi lebih beradab dalam menerima kemajmukan agama. Keragaman mesti dihargai dan dirai.

Kita bimbang pengajaran Pendidikan Islam yang dipasakkan selama ini hanya membawa kita ke lohong Zaman Kegelapan Eropah ketika pemerintahan kuku besi gereja; kali ini yang ditelan adalah penganut Islam di Asia khususnya Malaysia – negara kita. – 27 Disember, 2018.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Nak Islam sangat, mulut tu kasi Islam dulu. Amboi menyakiti hati manusia lain dengan kata-kata keji, layak kah menghakimi manusia lain sesedap rasa. Islamkah? Ini semua poyo.

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan