PAS akan kekal selamanya sebagai parti pembangkang persekutuan, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan membalas dakwaan parti Islam itu yang Pakatan Harapan tidak mampu meneruskan mandat lima tahunnya.
“PAS dan Pakatan pernah menjadi pembangkang. Namun tuhan berkati kita dan kita tidak menjadi parti pembangkang terlalu lama. PAS cemburu dengan kami kerana apabila kita cuba berunding dengan mereka untuk sertai kita, mereka tidak mahu,” kata Muhyiddin yang juga timbalan presiden Pakatan Harapan.
Muhyiddin berkata, Pakatan kini mempunyai kelebihan penyandang jawatan dalam kerajaan persekutuan sekarang yang menguatkan pakatan dan membina sokongan sebelum menghadapi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Dalam senario sedemikian, kemungkinan PH mempertahankan dirinya dan memenangi satu penggal adalah lebih besar daripada kemungkinan PAS mengalahkan gabungan itu, katanya.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah hari ini berkata, tidak mustahil kerajaan Pakatan Harapan akan jatuh sebelum ia sempat menghabiskan penggal pertama mereka dalam kerajaan berikutan pergolakan dalaman antara parti gabungan itu.
Pada pertengahan 2017, rundingan untuk PAS menyertai Bersatu dalam gabungan Pakatan Harapan gagal berikutan keengganan parti Islam itu bekerjasama dengan DAP dan Amanah yang merupakan dua daripada parti komponen gabungan itu.
PAS kemudian menubuhkan Gagasan Sejahtera dan bertanding menentang PH dan Barisan Nasional pada PRU14. Parti Islam itu gagal memenangi negeri di Pantai Barat Semenanjung. Namun ia berjaya mengekalkan kerajaan Kelantan dan mengambil alih kerajaan Terengganu.
Muhyiddin turut menolak bahawa kekuatan PAS dibuktikan pada perhimpunan 8 Disember lalu membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mana parti itu berjaya menggerakkan puluhan ribu ahlinya pada protes yang diadakan di ibu negara.
“Jumlah kehadiran perhimpunan ICERD bukan satu ukuran. Kita lihat pada keputusan pilihan raya. PAS boleh cakap macam-macam dan dalam perhimpunan lain pun lebih ramai dari kita, tetapi masa mengundi kalah juga.”
PAS tambahnya, mahir dalam bertanding pilihan raya tetapi tidak pernah menang kuasa persekutuan, walaupun berada dalam lanskap politik tanah air lebih daripada enam dekad.
“Ini kerana sebahahian besar rakyat tidak yakin parti PAS. Orang Cina dah tolak PAS, orang Melayu pun sebahagian besar tidak terima. Jika tidak PAS jadi parti besar.”
“Kita kena realiti. Tapi kita pentingkan check and balance walaupun parti kecil. Tak mengapa, biarlah PAS jadi pembangkang selama-lamanya. – 24 Disember, 2018
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Zubaidi Sudin · Ulasan