Pendidikan Islam sama penting dengan Bahasa Inggeris, kata kumpulan pelajar


Asila Jalil

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya menguasai Bahasa Inggeris untuk menimba ilmu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2018.

SEBUAH kumpulan pelajar Islam mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menimbang semula cadangannya untuk mengurangkan masa bagi subjek agama di sekolah dan berkata Bahasa Inggeris hanya perlu diberi penekanan di peringkat pengajian tinggi.

Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Mohd Adib Md Noor berkata, subjek agama sama penting dengan mata pelajaran Bahasa Inggeris kerana kedua-duanya adalah mata pelajaran yang wajib lulus bagi peperiksaan SPM.

“Kita tak boleh kata hanya perlu fokus pada satu subjek saja kerana kedua-duanya adalah (antara) subjek wajib lulus dalam SPM.

“Kena seimbang pengajaran kedua-dua subjek itu di sekolah rendah dan menengah,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

Adib berkata Bahasa Inggeris haya perlu diutamakan bagi pelajar di peringkat pengajian tinggi kerana mereka akan memasuki “dunia sebenar” selepas tamat belajar.

Jelasnya, bahan rujukan di peringkat universiti kebanyakannnya adalah dalam Bahasa Inggeris, jadi pelajar harus menguasai bahasa itu.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkata Bahasa Inggeris haya perlu diutamakan bagi pelajar di peringkat pengajian tinggi kerana mereka akan memasuki 'dunia sebenar' selepas tamat belajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2018.

Dr Mahathir semalam mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pentingnya menguasai Bahasa Inggeris untuk menimba ilmu.

Beliau berkata kurikulum di sekolah juga perlu menitikberatkan penguasaan subjek yang boleh melahirkan graduan berkualiti dan tidak tertumpu pada subjek keagamaan sahaja.

Beliau berkata kurikulum di sekolah juga perlu menitikberatkan penguasaan subjek yang boleh melahirkan graduan berkualiti dan tidak tertumpu pada subjek keagamaan sahaja.

“Kerajaan akan menyemak semula kurikulum sekolah. Seseorang menukar sekolah kebangsaan. Sekolah kebangsaan menjadi sekolah agama, belajar agama Islam dan tidak belajar perkara lain,” katanya dipetik Bernama semalam.

Dr Mahathir berkata subjek agama akan terus diajar di sekolah tetapi bukan setiap hari.

The Malaysian Insight mendapati Pendidikan Islam kini diajar sebanyak 98 jam setahun di sekolah rendah, berbanding 160 jam bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Di sekolah menengah, Pendidikan Islam diajar sebanyak 128 jam setahun, sama dengan Bahasa Melayu. Bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik pula, sekurang-kurangnya 112 jam setahun.

Subjek Moral diajar sekurang-kurangnya 96 jam di sekolah rendah dan menengah.

Bagi Setiausaha Kehormat Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (Page) Tunku Munawirah Putra, pengagihan semula masa pengajaran bagi subjek teras dan wajib perlu dilakukan.

“(Di Brunei) Pendidikan Islam diajar antara 4 dan 9%. 4% di sekolah menengah atas, 9% di menengah bawah dan 7% di sekolah rendah. Mereka lebih banyak menghabiskan masa untuk belajar Sains kerana subjek Sains adalah subjek teras dan Pendidikan Islam adalah mata pelajaran wajib,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.

“Kita pula, menghabiskan antara 9 dan 15% bagi Pendidikan Islam, dan 8 hingga 27% pada Sains. 27% itu adalah gabungan Fizik, Kimia, Biologi di menengah atas yang mengambil aliran Sains tulen.

“Pengagihan masa di sekolah rendah contohnya:13% untuk Bahasa Melayu, 10% masing-masing untuk Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, 11% untuk Pendidikan Islam.

“Kita boleh agih semula masa pengajaran bagi subjek teras dan wajib.”

Menurut Tunku Munawirah, ibu bapa yang mahukan anak mereka mempunyai lebih banyak waktu bagi Pendidikan Islam boleh menghantar anak mereka ke kelas tambahan selepas waktu sekolah.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Harry Tan berkata subjek agama perlu terus diberi keutamaan, bukan mengurangkan waktu mengajar.

NUTP katanya, mahu subjek agama diberi status quo di sekolah.

“Tetapi ibu bapa murid bukan Islam boleh berhubung dengan Kementerian Pendidikan untuk menetapkan aktiviti yang anak mereka perlukan apabila subjek Pendidikan Islam dijalankan,” katanya.

Sementara itu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu subjek Pendidikan Islam disesuaikan dengan amalan Islam dalam kerangka masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

“Asas kajian semula kurikulum dan dasar pendidikan secara keseluruhan perlu melihat kepentingan dalam pendidikan membentuk watak bangsa Malaysia,” kata presidennya Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan. – 23 Disember, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen