Loji elektrik hidro mikro akan dipasang di 10 kampung pedalaman


Jason Santos

Adrian Lasimbang (dua dari kiri) bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun selepas mesyuarat berkenaan projek 10 jana kuasa hidro mikro di bawah inisiatif elektrik. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Disember, 2018.

KEJAYAAN kumpulan Tonibung (Rakan-rakan Pembangunan Kampung) dalam membantu penduduk luar bandar menjana elektrik mendapat pengiktirafan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kementerian itu akan bekerjasama dengan Tonibung untuk memulakan 10 projek mikro kuasa hidro, dalam satu program perintis tahun depan.

Tonibung arif dengan bidang jana kuasa dan membantu beberapa kampung yang bergelap selama beberapa dekad lalu untuk menjana elektrik bagi kegunaan penduduk.

Pengarahnya, senator Adrian Lasimbang berkata projek itu diluluskan oleh kementerian dan sedang menunggu 10 kampung yang akan dinamakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.

“Jika berjaya, projek itu akan menjadi model tentang bagaimana kuasa elektrik boleh dilaksanakan di kampung terpencil di seluruh negara,” katanya.

Lasimbang berkata pegawai kementerian mengetahui tentang Tonibung selepas membaca artikel yang diterbitkan di The Malaysian Insight.

“Kira-kira seminggu selepas artikel itu disiarkan, saya menghadiri beberapa mesyuarat dengan pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar, termasuk Timbalan Menteri R. Sivarasa, yang melihat kerja kami di Ulu Papar, Terian, di Penampang.”

Kementerian membelanjakan lebih RM400 juta untuk program elektrik luar bandar di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), tetapi banyak yang gagal.

Lebih 200 sistem elektrik terbengkalai.

Selepas semakan pertengahan penggal RM11, kementerian menerima ratusan kertas cadangan jana kuasa elektrik luar bandar, tetapi memberi peluang kepada model Tonibung untuk dicuba.

Apa yang membezakan program Tonibung daripada projek komersial lain ialah kumpulan itu tidak meninggalkan masyarakat selepas turbin dipasang.

Sebaliknya, program itu fokus kepada membabitkan masyarakat.

“Mereka terbabit dalam setipa peringkat – daripada mengumpul dana membeli loji kuasa hidro mikro, menubuhkan dana pusingan untuk menyelia peralatan itu, dan juga gaji untuk penduduk kampung yang dilatih sebagai jurutera kampung,” kata Lasimbang.

Katanya, ada tiga komponen dalam setiap projek – kebolehlaksanaan, pelaksanaan dan latihan.

 Lasimbang berkata sistem kuasa hidro mikro itu sedang diaudit supaya ia menepati standard yang diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Semua unit kuasa hidro mikro dibina di bengkel Tonibung di Inobong, Penampang. – 23 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen