WALAUPUN masih tidak ada jalan penyelesaian untuk memberikan bekalan elektrik kepada penduduk kampung, Adrian Lasimbang berjaya menyalurkan bekalan kepada lebih 5,000 penduduk kampung sepanjang sedekad lalu menerusi program hidro mikro.
Setakat ini, Lasimbang, 42, dan krunya dari Tonibung (rakan pembangunan kampung) dari Penampang, Sabah memasang 29 turbin rumah rekaan di seluruh negara.
Secara keseluruhan, 18 di Sabah, sembilan di Sarawak dan dua di semenanjung.
Tetapi apa yang menjadikan program hidro mikronya itu berjaya ialah pendekatan serampang dua mata, iaitu pembabitan masyarakat dan proses memasang turbin itu.
Lasimbang berkata prosesnya boleh mengambil masa hingga dua tahun untuk disiapkan, tetapi tempoh lebih pendek jika tiada masalah.
“Proses pertama membabitkan kerja remeh, pergi ke kampung bertanya jenis peralatan elektrik yang penduduk ada di rumah mereka.
“Kajian itu juga membabitkan tenaga kinetik di sungai berhampiran. Sebaik ia selesai, pengiraan itu akan memberi kami idea sebesar mana turbin perlu dibina,” katanya.
Beliau berkata kosnya sekitar RM25,000 per kilowatt untuk membina, membawa dan melatih operator turbin itu.
Lasimbang, yang juga seorang senator berkata sebaik saja proses pertama siap, mereka akan kembali ke bengkel di Penampang untuk membina turbin hidro mikro, sementara penduduk kampung dimaklumkan untuk menubuhkan dana pusingan.
“Penduduk kampung perlu buat dana itu untuk membolehkan turbin itu terus berjalan selepas kami sudah tiada di situ.
“Kami percaya tiada yang percuma dan mereka yang mahukannya perlu beri sumbangan untuk menjayakannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membayar gaji bulanan operator, membeli perkakasan selain kegunaan kecemasan jika berlaku kematian dan sakit.
Di bengkel, Lasimbang berkata kerja membina turbin bermula dan mereka perlu menentukan saiz rodanya dan membinanya.
“Biasanya, lebih besar roda, lebih banyak tenaga kinetik diperoleh dari sungai, lebih banyak elektrik dapat dijana. Tetapi ini akan dikenal pasti pada audit awal kami.
“Kami ada relau lebur di sini dan kami kumpul tin aluminium dan cairkannya untuk menghasilkan sayap roda,” katanya. – 28 Oktober, 2018.
Baca berita penuh di sini.
Komen