KEWARTAWANAN hari ini sukar untuk menjadi suara dari bawah ke atas. Maksudnya, suara rakyat kepada kerajaan. Selepas PRU14, media massa umumnya sangat sibuk dengan laporan dari atas ke bawah. Lebih teruk, suara rakyat seperti disenyapkan. Suara orang politik yang dilebih-lebihkan.
Selain isu siasatan dan pertuduhan rasuah membabitkan pemimpin dan kroni kleptokrasi, krisis dalaman Umno dan perpecahan BN paling hangat diperkatakan. Isunya berpanjangan sampai enam bulan. Malah, ia akan terus bergelombang kerana Umno sedang menuju tarikh mati.
Manakala, krisis Dr Mahathir-Anwar Ibrahim pula berlarutan jadi berita utama pada tiga bulan pertama pemerintahan PH. Namun, isu dua pemimpin utama PH ini mulai sejuk pada Ogos. Namun, tetap hangat di peringkat bidak caturnya.
Dalam riuh-rendah berita politik, sekali dua terungkit isu janji manifesto PH. Terutama isu hapuskan tol, turunkan harga minyak, pelarasan pinjaman PTPTN dan apa saja yang ada dalam 50 janji sebelum PRU14 itu.
Apa pun, dalam banyak keadaan isu manifesto hampir disenyapkan media massa. Suara rakyat yang mendesak kini macam lampu kelip-kelip – lebih banyak padam daripada menyala. Rakyat terpaksa menjerit di media sosial apabila broker maklumat arus perdana meremehkannya.
Media massa selama enam bulan lebih terpegun dengan jerit dan pekik isu pemilihan Umno pada September lalu. Habis hal Umno, timbul pula kempen pemilihan PKR yang tegang dan dramatik selama 6 minggu.
PKR parti tunjang PH. Malah, Presiden PKR, bakal PM dalam 18 bulan lagi. Justeru, semua ketegangan dalam parti itu menjadi fokus utama laporan. Ada logiknya sepanjang Oktober sampai November, semua keutamaan ialah isu PKR.
Kesannya, suara rakyat hampir padam. Sebab media massa disesakkan dengan berita dua gajah PKR yang bertembung. Azmin Ali dan Rafizi Ramli berhantuk gading bagi kerusi Timbalan Presiden.
Rasanya, selepas begitu banyak laporan politik, rakyat pun naik meluat dan sudah letih.
Atau, rakyat sebenarnya sudah lali dan lalok. Rakyat barangkali sedang mabuk berita politik. Penagihannya sudah jadi satu fenomena. Berita politik kini dadah sintetik terbaharu di pasaran pemikiran rakyat.
Ingat! Isu anti Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan isu rakyat. Ia lebih kepada isu yang dipolitikkan dan rakyat dipergunakan. Isu rakyat dalam konteks sebenar ialah laporan yang manfaatnya 100 peratus demi kebajikan rakyat.
Enam bulan PH membentuk kerajaan adalah tidak wajar media massa melihat isu kos sara hidup yang terus menekan, sebagai sekadar warisan dosa BN. Adalah tidak wajar, suara rakyat disenyapkan. Kita sedang membina semula negara bangsa yang baru. Eloklah, apa saja yang lama tidak dimomokkan dengan masalah tinggalan BN.
Rakyat terus merungut sebab 38,000 buah rumah sekitar harga RM250,000 yang disasarkan kepada pembeli muda masih tidak terjual. Pembeli bergaji antara RM3,000 ke RM4,000 masih mengalami masalah mendapatkan pinjaman bank.
Dasar Fund My Home yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, adalah idea jenaka yang lawaknya tidak diselesaikan hingga hari ini. Rakyat tidak ketawa dengan lawak ini, sebaliknya rakyat sedang meratapinya.
Isu-isu ini sengaja dilupakan. Isu rumah untuk rakyat dianggap tidak besar. Media massa sibuk dengan isu-isu kemusnahan Umno dan pesaingan mengukuhkan kuasa di kalangan komponen PH.
Isu flip flop pembayaran PTPTN sepatutnya terus dikritik. Ia kecuaian yang tidak masuk akal. Ia dijanjikan dalam Manifesto PH. Ia disebut dalam pembentangan Belanjawan 2019.
Teguran komprehensif harus terus dibangkitkan; dibincang dan diungkit secara bijak. Pelaksanaan diagram pembayaran tidak diusahakan secara bijak. Dasarnya diubah berulang kali. Malah, diubah lagi selepas pengumuman mesyuarat Kabinet pada November.
Akhirnya, flip flop tidak berkesudahan. PTPTN jadi isu yang melarut dan mengarut dengan dengan jawapan akan dikaji dan dikaji semula. Malah, terbaru – ia akan dikaji lagi dalam tempoh antara enam bulan hingga setahun.
Kerajaan tidak sepatutnya bersikap semacam tidak tahu menguruskan PTPTN. Apa masalah sebenar. Apakah ia masalah kerana agensi itu diuruskan secara lemah dan terlalu politiking?
Harga barang terus menekan rakyat. Antara GST dan SST, hanya tinggal terma. Kos sara hidup kekal menekan rakyat. Ahli politik lebih suka dengan debat simulasi angka turun dan naik. Hakikatnya, di semua lubuk utama tempat rakyat bertarung mendapatkan makanan, harga barang tidak pernah turun. Dari pasar basah hingga ke pasaraya mega, harga barangan keperluan kekal menekan perbelanjaan rakyat.
Isu ini sekarang didiamkan. Apakah kerana wartawan letih atau rakyat yang terlalu bersedih?
Ingat, kesedihan boleh menjadikan rakyat berduka. Duka menyebabkan rakyat bermurung. Kemurungan menjadikan rakyat memencilkan suara.
Jadi, tidak ada apa yang boleh dibanggakan kalau isu kos sara hidup yang menekan rakyat sampai hari ini sengaja disenyapkan.
Apabila harga telur melambung naik minggu ini, media massa menyiarkannya sebagai laporan ala kadar. Harga telur melambung antara 15 hingga 20 peratus. Alasannya, kerana kenaikan harga makanan ayam yang diimport. Kos melambung kerana kesan kejatuhan ringgit.
Apabila keputusan mudah dibuat dengan menurunkan harga telur di ladang sebanyak dua sen, media massa menganggap isu itu selesai. Hakikatnya dua sen tidak mewakili kesan kenaikan harga telur antara enam ke sembilan sen sebiji mengikut gred.
Kes harga telur ialah isu simplistik yang mewakili pelbagai lagi asas ekonomi yang lebih komplikated. Media massa harus berperanan secara bijak; menegur dan mendesak kerajaan agar soal ini kekal sebagai satu keutamaan.
Soal harga ikan dan sayur tidak perlulah disentuh. Media massa kini hanyalah syurga tempat muatan berita ucapan politik para dewa.
Isu harga barang di pasar basah yang terus menekan pengguna, barangkali dianggap hanya mengotorkan laman portal, kaca TV dan kertas cetak.
Begitulah media massa menjadikan kedewaan berita politik mengatasi segala derita rakyat.
Hari ini dadah sintetik terbaru dicipta media massa. Menciptakan ketagihan luar biasa terhadap berita politik. Ia dilaporkan tanpa sempadan. Asalkan rakyat kekal ketagih terhadap apa saja yang boleh dipolitikkan.
Tidak hairanlah, kisah tiga ahli politik minum kopi pun boleh meletup menjadi berita utama. Rakyat disuruh membaca, memikir dan menegarakan isu tiga ahli politik minum kopi semeja.
Hairannya, rakyat pula macam ketagih membacanya. Memang benarlah – dadah baharu sudah dicipta dan rakyat sedang ketagih teruk. Gosip murahan politik kini jadi berita utama untuk membina minda rakyat. Gosip politik kini mengatasi retorik politik dalam agenda membentuk negara bangsa Malaysia Baru!
Saya tidak fikir, politik seteruk ini adalah matlamat ahli politik PH apabila berjuang untuk mengambil alih pemerintahan negara.
Orang cerdik tidak akan membiarkan negara jadi medan politiking sebagai antara ketagihan teruk pada negaranya.
Media massa juga milik orang cerdik. Mustahil politik tanpa had adalah keutamaan kewartawanan Malaysia Baru! – 22 Disember, 2018
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Madzlan Mohamad Hussain · Ulasan