Cadangan RCI Memali selepas PRU14 berasas, kata Lim Kit Siang


Looi Sue-Chern

CADANGAN Musa Hitam supaya siasatan semula ke atas peristiwa Memali ditangguhkan sehingga selesai Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sekiranya kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja, ada asas yang boleh dipertimbangkan, kata Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu berkata peristiwa berdarah 32 tahun lalu itu adalah masalah Malaysia, dan bukan masalah mana-mana kaum, agama atau parti politik, dan kerana itu ia harus ditangani dengan telus dan tidak memihak.

“Tragedi Memali bukan masalah orang Islam atau Melayu, bukan juga masalah Umno atau PAS tetapi masalah Malaysia yang mesti ditangani dengan asas rakyat Malaysia yang tidak memihak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lim mengulas kenyataan Musa yang melahirkan kebimbangan siasatan ke atas peristiwa Memali akan jadi alat politik untuk meraih undi dan bukannya untuk mencari kebenaran, dan kerana itu mencadangkan ia diadakan selepas selesai pilihan raya umum yang akan datang.

“Saya yakin mana-mana pihak yang benar-benar serius dan jujur, serta mahu mengetahui latar belakang dan kejadian sebenar Peristiwa Memali, akan bersetuju untuk penubuhan dan prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) ditangguhkan sehingga selesainya PRU14,” kata Musa.

Musa adalah Menteri Dalam Negeri pada semasa peristiwa 19 November 1985 itu terjadi di Kampung Memali, Baling, Kedah, membunuh 18 korban termasuk empat anggota polis.

Menginsafi peristiwa Memali adalah satu titik hitam dalam sejarah negara yang “melibatkan terkorbannya nyawa warga negara kita”, Musa berkata siasatan tersebut “hendaklah dilaksanakan dalam keadaan tenang lagi berfokus, tanpa prejudis dan pilih kasih”.

Sejarah Memali lebih tiga dekad itu muncul semula selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa kekecohan semasa forum “Nothing to Hide 2.0” baru-baru ini tercetus kerana jawapan Dr Mahathir berkenaan peristiwa Memali tidak memuaskan hati hadirin.

Susulan itu, pemimpin kanan PAS mengulangi desakan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja menyemak semula peristiwa 32 tahun lalu itu dan Zahid menyatakan kesediaan kerajaan untuk berbuat demikian “sekiranya ada permintaan”.

Kenyataan Zahid itu dialu-alukan oleh PAS yang mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa membela nasib mangsa Memali dan bercadang membawa waris keluarga bertemu Zahid di Putrajaya.

Dua bekas ketua polis negara, Mohamed Hanif Omar dan Abdul Rahim Noor bagaimanapun, mempersoalkan kewajaran membuka semula siasatan yang sudah selesai.

Rahim malah mengingatkan PAS, siasatan semula itu akan mendedahkan peranan Hadi mempengaruhi pemikiran politik Islam pada masa itu melalui amanatnya yang memuncak jadi peristiwa berdarah di Memali. – 23 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen