PAS tubuh jawatankuasa gesa Putrajaya bentuk RCI Memali


PAS menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan berurusan dengan Putrajaya untuk membuka jalan kepada pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap peristiwa Memali yang berlaku 32 tahun lalu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa itu akan membawa keluarga waris mangsa “tragedi Memali” bertemu dengan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat aduan rasmi memohon kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu.

“PAS mengharapkan RCI yang ditubuhkan nanti dapat menyelesaikan segala kekeliruan tentang peristiwa malang ini dan juga membela nasib dan hak semua pihak yang teraniaya ekoran daripadanya,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Takiyuddin mengulas kenyataan Zahid yang mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat peristiwa Memali “sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa”.

Jawatankuasa itu diberi nama Jawatankuasa Khas Untuk Membela Mangsa Tragedi Memali dan dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Idris Ahmad. Pada masa sama, PAS juga membentuk pasukan khas peguam yang diterajui oleh Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat bagi membantu pihak yang terlibat dari segi perundangan, kata Takiyuddin.

Pengumuman Takiyuddin ini menyusul kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengalu-alukan kesediaan kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali tetapi pada masa sama mahu kerajaan menubuhkan juga RCI untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 21 Ogos, 2017.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen