AHMAD Zahid Hamidi, anak keturunan Jawa itu mencapai tempat tertinggi dalam Umno apabila beliau menjadi presiden ketujuh parti itu pada 30 Jun tahun ini.
Kalau dalam keadaan biasa, beliau sudah pasti menjadi perdana menteri kerana beliau juga pengerusi Barisan Nasional (BN).
Tetapi BN gagal mengekalkan kuasanya dalam kerajaan selepas memerintah selama 61 tahun dan Zahid terpaksa mewarisi tugas mengekalkan perpaduan parti.
Antara perkara pertama yang cuba dilakukan oleh pemimpin berusia 65 tahun itu ialah meminta wakil rakyatnya menandatangani deklarasi berkanun untuk kekal dalam parti dan berjanji parti itu akan kembali kuat dalam tempoh dua tahun.
Tetapi dalam tempoh kurang enam bulan selepas menjadi presiden, Zahid hanya dapat memandang saja ahli Parlimen Umno dan Adun keluar parti, seorang demi seorang sehingga kini hanya tinggal 37 daripada 54 kerusi Persekutuan yang dimenanginya dalam PRU14.
Menambahkan lagi keruh keadaan itu ialah, parti itu di Sabah terbubar minggu lalu selepas empat ahli Parlimen dan sembilan Adun keluar Umno.
Tamparan paling hebat ialah pada malam Selasa apabila presiden Umno itu mengumumkan beliau melepaskan tanggungjawabnya kepada timbalannya Mohamad Hasan selepas semakin ramai desakan dari dalam parti supaya beliau meletak jawatan.
Jadi, apa punca kejatuhan Zahid?
Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata: “Saya fikir Zahid malang terpaksa mengambil alih parti yang dalam keadaan bersedih selepas kekalahan BN pada PRU14.”
“Parti itu sendiri dalam keadaan menafikan, dan terus percaya ia masih mendapat sokongan orang Melayu. Hakikatnya ialah Umno masih komponen dalam BN, dan walaupun ia parti dominan, ia masih perlukan parti komponen bukan Melayu.”
Pensyarah sains politik itu berkata ramai dalam kepimpinan parti merasakan Zahid tidak memberikan hala tuju jelas selepas menjadi presiden.
“Beliau mahu membentuk sekutu dengan PAS, dan beliau juga membenarkan orangnya berbincang dengan PKR dan Bersatu,” kata Tunku Mohar.
Zahid mengejutkan ramai pihak pada September apabila beliau hadir dengan mesranya ke muktamar PAS, parti yang secara tradisi menjadi musuh Umno.
Walaupun PAS kemudian turut menghantar delegasi ke perhimpunan agung Umno, presidennya Abdul Hadi Awang tetap tidak hadir. Dan buat julung kalinya, sekutu tertua Umno iaitu MCA juga tidak hadir mesyuarat agung Umno tahun ini.

Menjadi pembangkang menguji kualiti kepimpinan Zahid dan desakan supaya beliau meletak jawatan menunjukkan bahawa beliau bukan jenis pemimpin yang mampu membawa pengikutnya dalam laluan sukar.
Beliau juga gagal meyakinkan parti tentang kerjasama dengan PAS.
“Dan pada masa sama ‘rundingan’ PKR dan Bersatu tetap diadakan, itu menunjukkan beliau seorang oportunis,” kata Tunku Mohar.
“Beliau tidak menunjukkan yang beliau mampu membangunkan kembali atau cuba meyakinkan bekas parti komponen untuk kembali kepada BN.”
Bekas timbalan ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata pemangku presiden Mohamad Hasan kini perlu merangka hala tuju baru untuk parti.
“Lupakan untuk masuk gabungan kerajaan buat masa sekarang. Bina semula dan kukuhkan parti dulu. Dan juga jangan terima pembelot yang meninggalkan parti.
“ Kita perlu kaji semula DNA parti dan strategi untuk menang PRU15,” kata Khairul.
Katanya, ini adalah fasa pembersihan untuk Umno.
“Dan harapnya, Mohamad dapat menghentikan lebih ramai ahli Parlimen keluar parti.
“Tetapi kita tidak menghalang setiap orang atau mereka yang ada agenda peribadi. Biar mereka pergi,” katanya.
Khairul berkata masalah Zahid berpunca daripada sokongan merosot daripada ahli selepas pemilihan parti, pertuduhan di mahkamah yang dihadapinya dan perpecahan dalam parti.
“Tetapi saya puji Zahid kerana hatinya besar. Beliau menunjukkan teladan dengan melepaskan tugasnya,” kata Khairul.
Selepas pilihan raya, Zahid dikenakan 46 tuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Beliau mungkin berdepan lebih banyak tuduhan, selepas pihak berkuasa anti rasuah pada Ahad berkata mereka menerima aduan terhadapnya berhubung tuduhan politik wang dalam pemilihan Umno dan mungkin memulakan siasatan jika ada merit dalam laporan itu.
Kerjaya politik Zahid bermula pada 1986 ketika dilantik sebagai setiausaha politik kepada Najib Razak ketika menjadi menteri belia dan sukan dan kemudiannya sebagai menteri pertahanan.
Zahid menang pemilihan parti kali pertama ketika dipilih sebagai ketua Pemuda Umno pada 1996 selepas menang kerusi Parlimen Bagan Datuk pada 1995.
Dua tahun kemudian, Zahid dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selepas berlaku pergolakan dalam Umno yang menyaksikan timbalan presidennya ketika itu Anwar Ibrahim dipecat daripada parti dan dipenjarakan kerana salah guna kuasa.
Sebagai pengikut setia Anwar pada ketika itu, Zahid dituduh menentang Dr Mahathir Mohamad selepas membuat tuduhan berlaku wujudnya amalan kronisme dan nepotisme dalam kerajaan.
Dr Mahathir kemudian membalasnya, dengan mengumumkan nama orang Melayu dan Bumiputera yang menerima saham dan kedudukan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan, dengan Zahid antara nama berkenaan.
Namun, kerjaya politiknya tidak terjejas dan pada 1999, beliau diterima kembali dalam Umno tetapi sebelum itu beliau menyalahkan Anwar kerana menyuruhnya membangkitkan tentang tuduhan kronisme dan nepotisme.
Kepulangannya ke arena politik lengkap sepenuhnya apabila berjaya mempertahankan kerusi Bagan Datuk pada 1999.
Selepas menang Bagan Datuk untuk kali ketiga pada 2004, Zahid dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan oleh perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam tsunami politik 2008 ketika ramai rakannya dalam Umno dan BN hilang kerusi, Zahid terus berjaya mempertahankan Bagan Datuk.
Ganjarannya ialah pelantikan penuh dalam Kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dalam rombakan Kabinet pada 2009, Zahid dilantik sebagai menteri pertahanan oleh Najib yang ketika itu perdana menteri.
Selepas pilihan raya 2013, beliau dilantik sebagai menteri dalam negeri, bertukar jawatan dengan Hishammuddin Hussein yang menjadi menteri pertahanan.
Kesetiaannya terhadap Najib dan melindunginya daripada skandal kewangan 1MDB kemudian berbaloi apabila dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai 2015 dalam rombakan Kabinet yang menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada jawatan itu selepas secara terbuka mempersoalkan Najib tentang skandal itu.
Ketika desakan untuknya meletak jawatan sebagai presiden Umno semakin memuncak, cara Zahid mengendalikan keadaan itu akan menunjukkan kualiti kepimpinannya dan kekal di kedudukan nombor satu lebih daripada kesetiaan dan naungan. – 20 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan