AKAR umbi Umno pelbagai lapisan meletakkan harapan tinggi parti itu akan lebih kukuh di tangan Mohamad Hasan selepas Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengumumkan timbalannya itu sekarang menjalankan tugas-tugas sebagai presiden.
Mereka percaya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang lebih dikenali dengan nama Tok Mat itu mempunyai rekod bersih dan tidak disabitkan dengan skandal yang boleh menjejaskan imej parti terbesar Melayu itu.
Umno kini dilihat rapuh selepas 17 ahli parlimennya meninggalkan parti tidak lama selepas Umno menerima tamparan hebat tumbang pada pilihan raya 9 Mei lalu.
Ramli Chik, 56, ahli Umno bahagian Pokok Sena berkata Mohamad perlu diberi peluang untuk memperbaiki keadaan parti.
“Tok Mat tak calar lagi, dia masih boleh pulihkan. Siapa lagi nak galas (tanggungjawab). Semuanya bergantung pada Tok Mat sekarang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Lenggong Zanariah Din pula berharap ahli-ahli parlimen yang tinggal akan mendokong kepimpinan Mohamad.
“Tok Mat, di kawasan kami kurang menonjol. Tapi insya-Allah akan dibantu ahli parlimen untuk luaskan pengaruhnya. Tok Mat nampak lebih bersih yang boleh membantu.
“Setakat ini tiada kes mahkamah mungkin dapat menyejuk akar umbi memberontak secara senyap,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dira Abu Zahar yakin Mohamad akan membawa satu strategi yang baik untuk mengukuhkan parti.
“Saya harap Tok Mat mampu menggalas tugas. Tok Mat yang saya kenal dia sangat tersusun. Saya harap dia dapat menyusun semula gerak kerja parti supaya operasi lebih baik,” kata bekas pelakon itu.

Bagaimanapun, Norhisham Abdul Mutalib, 42, ahli Umno Batu berkata imej beliau pernah terpalit dengan isu kemenangan Dun Rantau yang dibatalkan mahkamah sebelum ini.
“Tok Mat orang yang baik, tetapi saya tidak pasti sama ada beliau mampu pulihkan imejnya.
“Kita yakin dengan kedudukannya tetapi kedudukannya sebagai Adun juga dipersoal. Saya tidak pasti sama ada dia mampu menyelesaikan masalah, katanya.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 18 Februari tahun depan untuk mendengar rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan keputusan bagi DUN antau di Negeri Sembilan pada PRU14 sebagai tidak sah dan terbatal serta memerintahkan supaya pilihan raya kecil diadakan segera.
Pada 16 November lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Seremban membenarkan petisyen pilihan raya Dr Streram calon PKR untuk membatalkan kemenangan Mohamad tanpa bertanding.
Dalam pada itu, penganalisis Sosiopolitik Dr Awang Azman Awang Pawi berkata masalah utama Umno bukannya tertumpu pada kepimpinan individu tetapi kekurangan kepimpinan dinamik di pelbagai peringkat.
“Tok Mat mampu galas tugas presiden dan bersihkan nama Umno namun in tertakluk kepada sokongan pemimpin peringkat pertengahan Umno yang perlu akur hala tuju sesuai denga ideologi dan perjuangan parti Umno selama ini,” kata pensyarah Universiti Malaya (UM).
Dalam pada itu, Prof Madya Dr Jeniri Amir melihat Umno hanya boleh diselamatkan sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyertai semula parti keramat itu.
“Saya tidak rasa siapa saja anda letak mampu ubah Umno, melainkan Dr Mahathir yang kembali dan Umno akan kembali ke landasan.
“Sekarang ini Umno penuh dengan racun, tiada kredibiliti… jadi Umno perlu ada pemimpin yang berwibawa untuk jadi penarik.
“Dengan hanya tinggal 37 ahli parlimen, tiada apa yang boleh memulihkan keadaan,” kata pensyarah Univeristi Malaysia Sarawak (UMS) itu. – 19 Disember, 2018.
Komen