PRESIDEN Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang “meninggalkan kedudukannya” tidak akan mengubah nasib parti itu jika ia masih menuju ke arah yang sama, kata Senator Marzuki Yahya.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata hala tuju Umno yang hanya mengangkat isu-isu Melayu telah mengasingkan parti itu sendirian sehingga tidak lagi memiliki sekutu.
“Umno tidak lagi relevan dan mereka boleh melakukan apa yang mereka mahu. Saya tidak fikir sama ada Zahid pergi bercuti atau meletakkan jawatan, akan mengubah apa-apa,” kata Marzuki kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
“Untuk Umno menjadi kerajaan, ia perlukan rakan gabungan yang baik.
“Tetapi siapa yang mahu menjadi kawan mereka sekarang? Malah MCA tidak mahu bersama mereka lagi. Barisan Nasional hanya tinggal Umno dan MIC dan kita tidak tahu berapa lama MIC boleh kekal relevan.
“Sekiranya anda mahu jadi parti yang kuat, anda perlu mendapatkan sokongan yang lain, tetapi jika mereka hanya bercakap tentang isu-isu Melayu dan tidak mahu bekerja dengan orang lain, mereka tidak akan boleh menjadi kerajaan,” kata Timbalan Menteri Luar Negara itu lagi.
Marzuki mengulas keputusan Zahid untuk menyerahkan parti itu kepada timbalannya Mohamad Hasan malam tadi.
Zahid, dalam sesi dialog dengan anggota Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, berkata beliau menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno kepada Mohamad.
“Saya harap semua polemik mengenai kepimpinan akan terhenti dan kepimpinan di peringkat akar umbi akan memberi tumpuan kepada pengukuhan parti,” kata presiden Umno itu.
Sejumlah 17 ahli parlimen Umno telah keluar parti selepas pilihan raya umum ke-14. – 19 Disember, 2018.
Komen