DAP akan abaikan pembangunan luar bandar, kata Najib


Melati A. Jalil

Najib berkata, DAP yang menguasai pakatan pembangkang tidak akan memberi tumpuan kepada masyarakat luar bandar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Ogos, 2017.

DAP tidak akan mengutamakan pembangunan luar bandar sekiranya parti itu memerintah Malaysia, kata Perdana Menteri Najib Razak

Bercakap pada Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Najib berkata walaupun wakil DAP tidak diletakkan pada barisan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan, ia masih lagi parti dominan dalam pakatan pembangkang.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat masalah komuniti luar bandar. Kita jangan termakan hasutan mereka.

“DAP memiliki kuasa mutlak, bukan yang satu lagi. DAP tidak akan mengutamakan pembangunan masyarakat luar bandar,” katanya pada ucapan pembukaan kepada lebih 10,000 wakil JKKKP, JKKK dan JKKOA. 

Beliau berkata ketua kampung dan ahli jawatankuasanya kini mempunyai peranan lain dan mereka perlu mempersiapkan diri untuk berdepan dengan medan perang baharu, media sosial.

Tambahnya, masyarakat juga perlu tahu membezakan pendapat dan fakta, serta menggesa mereka mengesahkan berita dan maklumat yang diperoleh menerusi media sosial.

“Beritahu kepada orang kampung mereka tidak boleh terima dengan mudah apa sahaja yang datang dari media sosial. Terdapat pelbagai pembohongan dan pendapat di media sosial.

“Dan sesetengah pandangan itu tidak semestinya benar,” katanya dan menambah beliau sering menjadi mangsa serangan daripada pembangkang.

“Hanya di Malaysia, bila harga petrol naik, rakyat salahkan perdana menteri. Tapi bila harga turun, mereka hanya diam,” katanya.

Terdahulu, Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung Shahaimi Othman berkata mereka akan mempertahankan Najib dan kerajaan daripada fitnah dan tuduhan yang dilemparkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang lain.

“Kita tidak akan biarkan dan kita akan melawan provokasi dan fitnah.

“Kita akan serang (pembangkang). Kerana fitnah adalah musuh utama negara,” katanya.  – 22 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Mo1 menipu lg

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan