MAJLIS Tertinggi (MT) Umno sepatutnya mengadakan mesyuarat khas malam ini tetapi pertemuan itu kini ditangguhkan tanpa alasan jelas ketika ia menangani kesan tindakan ahli Parlimennya keluar parti beramai-ramai dan tekanan terhadap Presiden Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Umno Sabah lumpuh sehari selepas surat panggilan mesyuarat itu dikeluarkan manakala enam lagi ahli Parlimennya keluar parti minggu lalu.
Di tengah-tengah perkembangan itu, timbul berita Zahid mahu ahli akar umbi mempersetujui cadangan Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP. Cadangan itu mendapat tentangan.
Sumber parti memberitahu isu-isu ini mungkin akan berbangkit dalam mesyuarat MT malam ini dan memberi tekanan kepada Zahid untuk berundur.
“Beliau tidak mahu berdepan dengan MT sekarang kerana bimbang akan didesak letak jawatan. Walaupun kedudukannya mungkin tiada dalam agenda tetapi ia mungkin berbangkit,” kata seorang sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber lain memberitahu keputusan membatalkan mesyuarat malam ini akan memberi ruang kepada Zahid untuk menimbangkan langkah politiknya.
Semalam, Zahid bertegas tidak akan tunduk pada sebarang tekanan untuk beliau letak jawatan dan mengingatkan kuasa melucut jawatannya hanya ada pada perhimpunan agung khas Umno.
“Saya tidak akan tunduk kepada desakan segelintir orang yang mahu saya mengundurkan diri.
“Saya akan patuh kepada hanya peraturan dan perlembagaan Umno yang menentukan, jika dua pertiga perwakilan dalam perhimpunan agung Umno khas menentukan untuk saya mengundurkan diri,” katanya.
Zahid juga menegaskan Umno akan terus bekerjasama dengan PAS, bukannya dengan DAP yang didakwa membawa agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu, baik secara halus mahupun terang-terangan.
Mesyuarat malam ini dipanggil oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa melalui sepucuk surat bertarikh 12 Disember, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight – sebelum pecah berita mengenai cadangan kerjasama dengan PKR dan DAP, sebelum enam lagi ahli Parlimennnya keluar parti.
Pada hari yang sama, wakil rakyat dan ketua bahagian Umno di Sabah mengisytiharkan keluar parti, menyebabkan Umno Sabah dipercayai lumpuh.

Kali terakhir MT Umno mengadakan mesyuarat bulanannya ialah pada 9 November lalu. Antara isu hangat yang berbangkit ialah cadangan Pergerakan Pemuda Umno yang mahukan Zahid “berehat” sebagai presiden dan isu penggabungan dengan parti lain.
Pergerakan Pemuda Umno dalam satu mesyuarat pada 25 Oktober lalu sebulat suara mencadangkan Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga kesnya di mahkamah selesai.
Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dasuki ketika membangkitkan cadangan daripada sayap parti itu tidak diberi ruang untuk berhujah kerana terus dibidas oleh beberapa ahli MT yang lain termasuk Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Isu yang Asyraf bangkitkan bukan sahaja tiada dalam agenda mesyuarat bulanan MT Umno, malah beliau juga tidak mendapat sokongan daripada ahli MT yang lain ketika itu.
Mesyuarat yang sama sebelum ini turut membincangkan isu penggabungan dengan parti-parti politik yang lain bagi membentuk kerajaan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun MT memutuskan untuk tidak membincangkannya lebih lanjut kerana Umno mahu fokus pada usaha mengukuhkan parti selepas hilang kuasa di Putrajaya dan negeri-negeri.
Antara mesyuarat MT yang lalu pada 9 November dan mesyuarat khas yang dijadualkan malam ini, banyak perkembangan dan krisis dalam Umno sehingga mantan Presiden Najib Razak berkata “Umno berada dalam genting”.
Dalam tempoh lebih sebulan itu, Umno hilang 11 ahli Parlimen dan sembilan wakil rakyat negeri di Sabah. Dalam tempoh itu juga, timbul gerakan untuk bekerjasama dengan PKR dan seteru ketatnya DAP.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, seorang daripada enam yang keluar Umno kelmarin mendedahkan 33 ahli Parlimen Umno yang dikatakan masih setia dengan parti sudah menyatakan ikrar menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Di atas semua itu, desakan dari akar umbi mahu Zahid berhenti menjadi presiden semakin terdengar lantang. – 16 Disember, 2018.
Komen