Umno akan kerjasama dengan PAS, bukan DAP, kata Zahid


Umno sama sekali tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu, baik secara halus mahupun terang-terangan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

UMNO akan bekerjasama dengan PAS, dan bukannya DAP, kata Presiden Ahmad Zahid Hamidi, ketika desakan dari akar umbi parti semakin lantang mahu beliau letak jawatan.

Zahid berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan itu sebaliknya mengingatkan kedudukannya hanya boleh ditentukan dalam perhimpunan agung khas parti.

“Umno akan bekerjasama dengan PAS untuk terus menterjemahkan agenda Islam dan Melayu serta menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

“Eratkan lagi kerjasama dengan PAS. Ini yang rakyat sangat gembira untuk orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah Zahid, Umno sama sekali tidak akan berkompromi dengan agenda yang meminggirkan Islam dan Melayu, baik secara halus mahupun terang-terangan.

Zahid membuat kenyataan itu ketika desakan terhadapnya untuk letak jawatan semakin kuat susulan gerakan beliau mahu menjalinkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP.

Cadangan itu sedang dijaja oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz dalam kalangan akar umbi Umno untuk mendapatkan sokongan mereka.

Idea itu bagaimanapun mendapat bantahan keras, dan ditokok dengan semakin banyak ahli Parlimen Umno keluar parti, sudah ada gerakan di akar umbi mahukan Zahid berhenti.

“Saya tidak akan tunduk kepada desakan segelintir orang yang mahu saya mengundurkan diri.

“Saya akan patuh kepada hanya peraturan dan perlembagaan Umno yang menentukan, jika dua pertiga perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno Khas menentukan untuk saya mengundurkan diri,” katanya.

Desakan supaya Zahid Hamidi berundur semakin kuat, tetapi presiden itu berkata beliau hanya akan berundur menerusi Perhimpunan Agung Khas Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

Awal hari ini, Khairy Jamaluddin mahu Zahid berundur dari jawatan presiden Umno sekarang. Dalam satu tulisan di Twitter, Khairy berkata: “Berundurlah, masanya sudah tiba. (Step aside, sir. It’s time.)”

Akhir Jun lalu, Zahid terpilih sebagai presiden Umno selepas menang pemilihan parti Khairy dan seorang lagi pencabar kuatnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam pada itu, Zahid juga akur dengan permintaan ahli akar umbi yang mahu agar Umno terus diperkukuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya yakin masih ramai yang mahu terus bersama Umno, biarpun Umno sebagai parti pembangkang. Malah sokongan kian bertambah agar Umno semakin perkasa,” katanya.

Semalam, enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti, dua hari selepas wakil rakyat dan ketua bahagian Umno di Sabah mengumumkan sokongan kepada Pakatan Harapan dan Warisan.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, seorang daripada enam yang keluar Umno semalam, turut mendedahkan akan ada 10 lagi wakil rakyat Umno akan meninggalkan parti itu tidak lama lagi. – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen