AHLI Parlimen daripada Umno lompat parti hanya kerana mahukan manfaat jadi kerajaan, kata Ahli Parlimen PKR Maria Chin Abdullah.
“Umno sudah jadi kerajaan bertahun lamanya, dan mereka dapat banyak manfaat. Mereka mahu lompat (ke dalam Pakatan Harapan) hanya kerana kita adalah kerajaan sekarang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Maria berkata wakil rakyat pembangkang perlu terus berada di kawasan mereka dan “berusaha bekerja” selain perlu menghormati pengundi kawasan berkenaan yang memilih wakil rakyat berdasarkan parti yang bertanding.
“Itu adalah tugas dan tanggungjawab anda kepada kawasan anda.”
Maria menambah yang tindakan lompat parti ini hanya melemahkan pembangkang negara ini, dan beliau tidak bersetuju dengan amalan tersebut kerana pembangkang yang kuat diperlukan untuk memastikan mekanisme semak imbang dapat dijalankan.
“Jika semua wakil rakyat pembangkang masuk ke dalam PH, ia hanya melemahkan pembangkang. Di mana mekanisme semak dan imbang untuk kerajaan nanti?” tanyanya.
Maria mengulas rancangan Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz yang mahu Umno bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi memastikan parti Melayu itu dapat bertahan.
Bekas aktivis integriti pilihan raya itu juga meluahkan kebimbangan dengan tindakan PH menerima bekas ahli Umno.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kanan Umno Sabah meninggalkan parti itu dan memberikan sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Semalam pula, enam ahli Parlimen Umno- Hamzah Zainudin (Larut), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Faisah Mohd Fakeh (Sabah Bernam), Latiff Ahmad (Mersing) dan Ikmal Hisham (Tanah Merah)- meninggalkan parti itu.
Tindakan mereka menyebabkan kerusi Parlimen milik Umno kini berkurangan kepada 37 berbanding 54 yang dimenanginya pada PRU14.
Antara nama besar yang meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu ialah bekas setiausaha agung Umno Radzi Sheikh Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Shamsudin, Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Bagan Serai Noor Azmi Ghazali.
Sementara itu, Presiden Perkasa Ibrahim Ali ketika mengulas proses “hijrah” beramai-ramai dari Umno berkata beliau yakin Umno tidak akan terhapus daripada politik Malaysia walaupun hanya tinggal seorang wakil rakyat yang masih setia kepadanya.
“Nasib Umno tidak terletak di tangan ahli Parlimen. Ia terletak pada tangan rakyat,” katanya yang menambah yang Umno sudah sebati dengan jiwa orang Melayu.
Apabila ditanya sama ada beliau bersetuju dengan desakan supaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berundur, beliau berkata:
“Semua (pemimpin) Umno sekarang perlu berundur jika mereka bermasalah. Dan bila mereka berundur, Umno akan serta merta pulih kerana Umno tak salah,” katanya. – 15 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan