AKTIVIS yang aktif berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kini dilihat menyerang parti pemerintah kerana menerima penyertaan individu yang ditentang sebelum ini.
Mereka merasakan bahawa dengan melakukan hal sedemikian, Pakatan telah menafikan prinsip demokrasi yang wujud, hanya kerana mahu mengukuhkan kedudukan mereka.
Aktivis Fadiah Nadwa Fikri berkata penerimaan individu Umno ke dalam gabungan parti pemerintah itu menunjukkan Putrajaya hanya berminat memperkukuh kedudukan mereka, di samping menambah beliau tidak terkejut dengan perkembangan ini.
“Ia menunjukkan bahawa elit pemerintah hanya berminat untuk mengukuhkan kekuasaan mereka. Mereka tidak peduli dengan demokrasi.
“Selagi mereka boleh berkuasa, segala-galanya boleh saja,” kata aktivis yang mengetuai pergerakan Malaysia Muda.
Antara mereka yang meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu, salah sebuah parti komponen Pakatan Harapan adalah bekas Ketua Setiausaha Umno Radzi Sheikh Aman, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Shamsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri Johore Rasman Ithnain dan Roslaily Johari, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali dan empat senator - Khairudin ES Abd Samad, Suhaimi Abdullah, Isa Abdul Hamid dan Aknan Ehtook.
Beberapa pemimpin tertinggi Umno Sabah juga turut dilaporkan meninggalkan Barisan Nasional sekaligus memberi sokongan kepada kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Hari ini, tujuh lagi penggubal undang-undang Umno bersedia meninggalkan parti tetapi tidak menyatakan sama ada mereka menyertai PH atau akan kekal bebas.
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann merayu kepada anggota Umno supaya tidak melompat parti kerana negara memerlukan pembangkang yang kuat demi memastikan pentadbiran PH dipantau mereka.
Fann mengingatkan Umno bahawa tidak sukar bagi rakyat Malaysia untuk memilih kerajaan baru pada masa akan datang jika kerajaan ketika ini gagal melaksanakan pentadbiran yang baik.
“Pembangkang yang kuat dan bertanggungjawab akan pastikan pemerintah bertanggungjawab terhadap janji-janji yang dibuat kepada pengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Setiap parti pembangkang harus melihat diri mereka sebagai bakal kerajaan dan harus bertindak sedemikian.”
Fann menasihatkan para ahli politik pembangkang yang mempertimbang melompat parti untuk menimbang semula keputusan itu dan mempersiapkan diri menjadi alternatif kepada kerajaan semasa.
__full.jpg)
“Jadilah pihak yang boleh semak dan imbang pentadbiran kerajaan, jadi suara rakyat, bila masa sampai, anda akan dapat penghormatan dan mendapat hak untuk mentadbir,” katanya.
Bekas tahanan dan aktivis ISA, Hishamuddin Rais, sebaliknya mengatakan isu tersebut remeh dengan mengatakan bahawa isu lompat parti adalah normal terutama bagi negara yang baru-baru menikmati pentadbiran baru.
Beliau menyebut Luxembourg sebagai contoh di mana parti berhaluan kiri baru-baru ini menyertai kerajaan setelah salah satu dasarnya diterima parti pemerintah.
“Melompat parti bukan sesuatu yang baru, tiada apa yang mengejutkan, ia berlaku walaupun di Eropah,” kata Hishamuddin.
“Dalam kes Luxembourg, parti haluan kiri setuju untuk menyertai kerajaan selepas dasar pengangkutan percuma mereka diterima.
“Ini adalah kelemahan politik pilihan raya, jika terdapat kelemahan di Malaysia, di Luxembourg, ia memberi manfaat kepada rakyat, jadi anda mempunyai kekuatan dan kelemahan dalam politik pilihan raya.”
Profesor Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata peletakan jawatan secara besar-besaran menunjukkan terdapat tekanan dan kekhuatiran yang timbul di kalangan pemimpin Umno untuk kekal dalam sebuah parti yang tidak lagi boleh menawarkan manfaat politik.
“Mereka bimbang dan mereka sedang mencari parti yang boleh memberi manfaat kepada mereka, kerana selama ini mereka berada di zon selesa, mereka memiliki wang dan kuasa,” kata Awang Azman.
“Cara terbaik bagi mereka ialah lompat bahtera dan sertai Bersatu yang dilihat sebagai parti yang boleh beri mereka harapan,” katanya. – 14 Disember, 2018.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh [email protected] · Ulasan