M. MANOGARAN daripada DAP diberitahu oleh pihak parti agar bersiap sedia sebagai calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands
Memberikan beberapa “petunjuk” yang beliau akan diturunkan semula, Manogaran berkata beliau adalah calon pilihan untuk bertanding di kerusi persekutuan yang menyaksikannya tewas semasa Pilihan Raya ke-14 di tangan calon MIC, C. Sivarraajh.
“Saya menyerahkan kepada pihak kepimpinan parti untuk memilih calon yang akan bertanding,” kata Manogaran kepada The Malaysian Insight.
“Tetapi terdapat beberapa petunjuk yang saya akan menjadi calon pilihan dan diberitahu untuk bersiap sedia.”
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menetapkan tarikh untuk PRK minggu depan, berikutan keputusan MIC agar Sivarrajh tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah pilihan raya membatalkan kemenangannya setelah mendapat bukti beliau memberi suapan kepada pengundi Orang Asli untuk menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya 9 Mei.
Manogaran yang juga seorang peguam memfailkan petisyen pilihan raya terhadap kemenangan Sivarraajh selepas pilihan raya, dengan alasan beliau memberi suapan pengundi Orang Asli dengan jumlah dari RM30 hingga RM1,000 melalui beberapa ketua kampung untuk mendapatkan undi mereka.
Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan terhadap Sivarraajh berikutan keputusan mahkamah itu.
Walaupun dengan keputusan mahkamah pilihan raya terhadap Sivarraajh dan siasatan SPRM, Presiden MIC S. Vigneswaran berkata parti itu tidak akan memfailkan rayuan dan juga akan meletakkan bekas ketua Pemuda MIC itu sebagai calon sekali lagi.
Pada PRU14, Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi dalam pertarungan lima penjuru. Beliau berjaya memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran yang menduduki tempat kedua, memperoleh 9,710 undi. Calon lain adalah daripada PAS, Berjasa dan Parti Sosialis Malaysia.
Ia adalah cubaan kedua Manogaran bagi kerusi itu di bawah tiket PKR kerana Pakatan Harapan tidak dibenarkan menggunakan logo bagi calonnya dalam PRU14.
Manogaran memenangi kerusi Cameron Highlands pada 2013, dan pada pilihan raya 2008 sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan.
Manogaran berkata cawangan DAP tempatan sudah mula menyediakan jentera pilihan raya itu sejak minggu lalu.
“Kami akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan operasi dan persediaan lain untuk PRK,” katanya.
Mengenai kemungkinan menentang Sivarrajh sekali lagi, Manogaran berkata MIC harus meneliti dengan peguam mengenai kesahihan Sivarraajh untuk bertanding lagi selepas keputusan mahkamah yang beliau merasuah pengundi.
Manogaran berkata beliau tidak berhenti bekerja untuk DAP di Cameron Highlands walaupun selepas Sivarraajh memenangi kerusi itu.
“Sejurus selepas 9 Mei, saya turun padang dan pergi ke kampung Orang Asli untuk mengumpulkan bukti.
“Saya mengambil kenyataan kira kira-kira 200 orang (mengenai apa yang berlaku). Itulah yang saya lakukan yang mengambil banyak masa.
“Dan akhirnya, semua saksi datang ke mahkamah dan memberi keterangan dan kami memenanginya.”
Beliau masih melawat kawasan itu sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk bertemu dengan pengundi walaupun tidak dipilih.
“Minggu lepas saya pergi bersembahyang di kuil Sri Subramanian di Tanah Rata dan kemudian melawat kampung Orang Asli di Jelai.
“Hujung minggu ini saya akan menghadiri program di Brinchang, Tanah Rata dan Ringlet,” tambah Manogaran. – 14 Disember, 2018.
Komen