MIC tidak akan merayu bagi keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengumumkan kekosongan kerusi Cameron Highlands, kata S Vigneswaran.
Beliau berkata parti itu menetapkan untuk menghadapi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi parlimen tersebut.
Menurut presiden MIC itu, keputusan diambil kerana parti berpendapat daripada merayu, jalan terbaik ialah dengan mendapatkan keputusan dari suara rakyat melalui PRK.
“Mahkamah mendapati tiada unsur penipuan. Dalam keadaan ini, kami memilih untuk merayu kepada rakyat, bukannya merayu di mahkamah.
“Kami percaya situasi sekarang sudah beralih kepada Barisan Nasional. Kami percaya boleh mendapat sokongan orang Melayu kerana mereka tidak gembiran dengan DAP,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Vigneswaran berkata MI akan mencalonkan semula C Sivarraajh.
Kerusi parlimen Cameron Highlands diisytiharkan kosong selepas mahkamah mendapati C Sivarraajh dari Barisan Nasional bersalah memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Hakim Azizah Nawawi mengatakan bahawa wujud “pola pemberian wang kepada pengundi sepanjang tempoh sebelum pilihan raya” dan beberapa salah laku terbukti.
Proses aktiviti rasuah itu dikatakan telah dibuat semasa mesyuarat pada 28 April dan 3, 6, 7, 8 dan 9 Mei tahun ini seperti yang didakwa pemohon petisyen M. Manogaran- calon DAP untuk Cameron Highlands.
Dalam PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan jumlah 10,307 undi sekaligus mengalahkan empat calon lain.
Vigneswaran berkata jentera MIC di kawasan berkenaan bersedia menghadapi PRK dan bertekad untuk menang. – 12 Disember, 2018.
Komen