Kempen singkir Zahid semakin rancak


SM Amin

Gerakan menggantikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semakin rancak selepas ada gerakan mahu parti itu bekerjasama membentuk kerajaan dengan PKR dan DAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

DESAKAN akar umbi Umno mahu Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan presiden Umno semakin kuat selepas terdedahnya khabar beliau terlibat dalam gerakan membawa parti itu membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP.

Pemimpin akar umbi memberitahu The Malaysian Insight mereka merasakan Zahid dan jenteranya telah kehabisan idea mencari hala tuju Umno selaras dengan asas kewujudan parti itu, selepas kalah pilihan raya 9 Mei lalu.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor, Aemierulrizaki Rambli berkata beliau sedang menggerakkan kempen di cawangan-cawangan Umno seluruh negara mendesak Zahid berundur.

Tegas Aemirul, ahli Umno tidak dapat menerima tindakan Zahid berselindung di sebalik Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz untuk menyakinkan mereka supaya menerima kerjamasa dengan PKR dan DAP.

“Gerakan bermula secara kecil-kecilan sekarang ini. Kita sudah berjumpa dengan cawangan-cawangan dan berhubung dengan kawan-kawan di seluruh negara untuk menggerakkan kempen ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Sekiranya Zahid enggan letak jawatan, kita akan usahakan untuk undi tidak percaya melalui mesyuarat cawangan dan kemudian di peringkat bahagian.

“Yang merasa susah bila jadi pembangkang ini pemimpin di atas. Kami ahli di bawah masih sama. Masih makan roti canai juga,” tambahnya.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Ahmad Masrizal Muhammad semalam menafikan Zahid berunding dengan DAP untuk membentuk kerjasama politik.

Beliau membuat kenyataan itu selepas ada laporan Nazri sedang mengadakan jelajah bertemu dengan pimpinan Umno di peringkat bahagian bagi mendapatkan sokongan mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.

Maklumat ini didedahkan kepada The Malaysian Insight oleh lima sumber yang hadir dalam pertemuan tertutup bersama Nazri sejak minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, Nazri yang mendakwa mendapat mandat Zahid menerangkan strategi Umno menyokong Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP, kata sumber.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu Barisan Nasional (BN) hanya menang 79 kerusi Parlimen. Bagaimanapun angka itu menurun apabila parti-parti komponen BN di Sarawak mengumumkan keluar daripada gabungan itu membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Umno yang memiliki 54 kerusi Parlimen selepas PRU14 lalu kini tinggal 43 kerusi selepas 11 ahli Parlimen termasuk lima daripada Sabah turut meninggalkan parti, kelmarin.

Sejak selepas PRU14, Umno berpecah kepada tiga kumpulan: pertama, yang keluar parti dan menyertai Bersatu; kedua, yang mahu membentuk kerajaan baharu diterajui oleh Anwar dan ketiga, yang mahu terus kekal bersama parti menjadi pembangkang.

Sejak memangku jawatan presiden Umno, Ahmad Zahid gagal meyakinkan ahli parti dan komponen BN bahawa beliau mampu membawa gabungan itu bangkit semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

Sementara itu, seorang ketua bahagian Umno yang dihubungi The Malaysian Insight mengaku menerima bantahan keras daripada ahli berhubung strategi parti untuk bekerjasama dengan DAP.

Jelas beliau, sekiranya mendapat desakan daripada majoriti cawangan, beliau akan memanggil mesyuarat agung tergempar di peringkat bahagian untuk mengemukakan usul tidak percaya terhadap presiden Umno.

“Banyak ahli saya kecewa dengan tindakan itu. Mereka desak supaya dibuat undi tidak percaya. Saya hanya boleh buat jika ada desakan daripada majoriti cawangan,” katanya yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat percaya lebih ramai lagi ahli Parlimen, pemimpin dan ahli Umno akan keluar parti sekiranya Zahid tidak letak jawatan segera.

Jelas beliau, sejak memangku jawatan presiden Umno lagi Zahid gagal meyakinkan ahli Umno dan komponen BN bahawa beliau mampu membawa gabungan itu bangkit semula.

“Selepas Zahid ambil alih, BN hilang komponen parti di Sarawak, beberapa ahli Parlimen Umno sendiri keluar parti dan sekarang kita hendak mengemis dengan parti lain pula untuk mendapatkan kuasa,” katanya, merujuk usaha Umno untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Semakin hari semakin ramai yang keluar. Zahid hanya membiarkan perkara ini berlaku.

“Ada baiknya Zahid letak jawatan sebelum lebih ramai lagi yang meninggalkan parti kerana dia,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Tengku Putra berharap Majlis Tertinggi Umno akan memainkan peranan mendesak Zahid berundur kerana jelas beliau sudah tidak lagi ada pengaruh.

“MT jangan membisu… kena tegur dengan tegas, bukan lagi berkias-kias,” katanya.

“Kalau kita tidak boleh harap dengan MKT untuk mempertahankan masa depan parti kerana setiakawan mereka di kalangan pucuk pimpinan, kita terpaksa desak akar umbi turunkan mereka.” – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen